“Yusry berhak pilih siapa sebagai kekasih” – Siti Nurhaliza

Kata penyanyi comel dan manja Siti Nurhaliza (yang Huzz panggil Miss Quality minggu lalu): “Yusry berhak memilih siapa sebagai kekasihnya, Siti tak boleh komen apa-apa kalau sekarang dia dah dikaitkan dengan Erra Fazira.”

Masa Huzz berborak dengan Siti selepas sidang akhbarnya mengenai Minggu Setiausaha (18 dan 19 April ini di Sogo City Arena, anjuran Hotel Quality City Centre) minggu lalu, Siti memberitahu: “Siti dengan Yusry berkawan biasa. Macam mana Siti berkawan dengan artis lain macam tulah dengan Yusry.”

“Siti sekarang ni tak mahulah fikir soal cinta. Yang terfikir ialah nak buat harta dulu. Siti nak buat harta untuk keluarga Siti dulu. Kahwin ke, cinta ke, itu memang tak ada dalam kepala… tak fikir lagi. Jadi kalau yang ada tanya apa komen Siti, Yusry baik dengan orang lain… jawapannya, itu hak dia.”

Bukan Huzz seorang saja bertanyakan bab Yusry malah beberapa rakan wartawan lain juga sebelum itu ajukan soalan sama. Ini kerana Siti dan Yusry pernah digosipkan bercinta. Yusry didakwa kononnya berhabis wang beribu ringgit sebulan kerana berborak dengan Siti di telefon.

Bagaimanapun cerita terkini Huzz dengar, Yusry dikatakan sedang bercinta dengan ratu cantik yang jadi penyanyi – siapa lagi kalau bukan Erra Fazira atau yang Huzz panggil sekarang Miss Avon! Walaupun Yusry kata cuma kawan, ada orang kata mereka bercinta!

Siti yang sudah masuk lima tahun menyanyi dan bergelar artis (pada 1 April lalu) mengatakan dia tak fikir apakah lima tahun lagi dia akan berhenti menyanyi dan kahwin.

Mungkin remaja seusianya (22 tahun) sibuk bercinta dan bercakap tentang cinta tapi kata Siti dia lebih rela tunggu dulu. Yelah, dengan kerjanya yang banyak (menyanyi di sana sini) Siti memang susah nak melayan cinta lelaki apalagi nak keluar dating!

Huzz pun usik tanya tentang seorang lagi artis lelaki yang pernah diusik kononnya bercinta dengan Siti (sering berhubung di telefon)… “Tak adalah. Kawan saja. Siti kawan dengan siapa saja apalagi sesama artis. Tentang jodoh Siti tak boleh cakap apakah Siti mahu atau tidak jodoh sesama artis, itu hanya Allah menentukan.”

Siti yang sibuk dengan latihan untuk konsertnya di Bukit Jalil pada bulan Jun nanti menyatakan: “Sekarang Siti dah buat latihan. Seminggu lima hari asyik berlatih menari sambil menyanyi di rumah selama lima jam setiap hari. Siti pasang video Paula Abdul (koreografer tarian yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi terkenal). Siti suka videonya yang mengajar cara menari.

“Bukan tak nak ambil penari mengajar di rumah, tapi di Malaysia ramai penari lelaki jadi guru tari… habis tu macam mana nak ajak mereka ke rumah. Bukan tak nak pergi ke kelas yang diadakan secara beramai-ramai tapi kalau di rumah Siti rasa lebih privacy. Kini Siti juga tak makan makanan berminyak, itu pantang setiap kali sebelum menjayakan konsert atau show besar,” akui Siti.

Sementara itu pihak Siti mohon kalau Huzz boleh tulis di ruangan ini mengatakan Siti kesal dan kecil hati serta sudah berbincang dengan peguamnya mengenai tindakan terhadap pihak yang menerbitkan majalah cetak rompak.

“Kalau selama ini Siti dah kempen agar peminat tolong artis basmi cetak rompak kaset, kali ini perihal cetak rompak majalah. Siti sudah kenal pasti beberapa majalah yang tidak ada permit KDN menggunakan majalah mereka yang menyiarkan gambar-gambar Siti. Kononnya mereka minta izin atau ihsan pihak pelbagai majalah hiburan terkenal di Malaysia, walhalnya bila Siti siasat, rupa-rupanya pihak berkenaan sengaja `ciplak’ gambar-gambar Siti untuk mencari untung dengan cara mudah… ini yang buat Siti geram ni Huzz. Siti hairan, macam mana dulu Siti ambil gambar untuk URTV… tiba-tiba tengok majalah tu pun ada gambar yang sama. Jadi kepada penerbit majalah-majalah cetak rompak… Siti dah beri ingatan, jangan tipu peminat dengan jual gambar curi dan tanpa izin Siti untuk peminat.

“Siti marah sebab mereka bukan ada niat pun nak beri publisiti untuk Siti, tapi sekadar ambil kesempatan,” kata Siti sambil kerut dahi. “Siti memang anti bab cetak rompak ni, kalau bab video dan album cetak rompak boleh buat Siti kesal, apalagi ini bab majalah ciplak. Jadi tolonglah hentikan sebelum Siti ambil tindakan undang-undang!”

Gitulah ceritanya yang Huzz dengar dari Siti petang tu. Ada juga lain-lain cerita termasuk kisah air mata Siti. Yang tu Huzz simpan nanti Huzz story dalam majalah URTV akan datang (bulan Mei). Sementara itu Siti juga menghiasi muka depan majalah URTV terbaru minggu depan (April) dengan buah hatinya yang amat dia sayang. Awas jangan ada yang cetak rompak pulak gambar ni, nanti akak Siti tak rela. OK sementara itu bagi peminat-peminat yang nak tengok show Siti sempena Minggu Setiausaha sila segera hubungi Cik Olie di talian 03-2693 9233 sambungan 8202 atau talian 016-3866813. Ada yang bagi tahu nombor yang disiarkan minggu lepas tak dapat dihubungi. Haaa… cubalah nombor ini pasti anda dapat buat tempahan segera, ok!

HUZZ: Tahniahlah Huzz ucap pada Jamal Abdillah kalau betul dah kahwin senyap-senyap dengan gadis idamannya. Kata kawan Huzz, Mike – wajah kekasih Jamal tu macam heroin Hindustan.?

http://www.utusan.com.my/