WIEF Imej Pertubuhan Persidangan Islam

Daripada MOHD. NOR AB. SAMAD
(Yang membuat liputan Forum Ekonomi Islam Dunia kali ketujuh di Astana, Kazakhstan).

APABILA sebut nama Kazakhstan, penulis akan teringat kepada salah sebuah filem lawak popular, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul, Tiga Abdul.

Tak perlulah bagi penulis menulis semula skrip wayang gambar itu. Daripada generasi celik mesin taip dan terengkas hingga era Facebook dan Twitter, semuanya akan tersenyum bila nama yang hujung sebutannya itu berakhir dengan ‘stan’.

Kazakhstan ini dulunya sebahagian daripada Empayar Rusia dan Soviet Union kemudian mencapai kemerdekaan pada 16 Disember 1991. Ia merupakan negara yang kesembilan terbesar di dunia yang buminya terbentang luas dari Asia Tengah dan Eropah Timur.

Negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam itu kaya dengan hasil sumber galian terutama minyak, gas asli dan uranium selain perladangan gandum.

Negara-negara jiran dan berhampiran juga berakhir dengan sebutan ‘stan’. Selain Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Krygystan, Tajikistan, tidak lupa juga Afghanistan serta Pakistan.

Kata seorang pegawai kedutaan yang ditemui di Astana, ‘stan’ atau ‘tan’ itu lebih kurang maknanya bumi, tanah atau tempat tinggal.

Ingat lagi dengan pertandingan nyanyian Voice of Asia. Ia berlangsung di bumi Kazakhstan. Antara penyanyi Malaysia yang pernah membuat persembahan di negara itu ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Ramlah Ram.

Rakyat Malaysia juga tidak mungkin lupa dengan kejayaan misi Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa lepas dengan Soyuz TMA-11 pada Oktober 2007. Tempat berlepasnya juga di Kazakhstan iaitu di Stesen Baikonur Cosmodrome.

Hari ini dan esok, bumi Astana, sebuah bandar raya terancang yang memiliki bangunan berbentuk ‘pelik dan unik’ akan berlangsungnya Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), kali ketujuh.

WIEF itu bagi dunia Islam umpama Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Seperti kata Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam kepada penulis di Astana, yang uniknya, WIEF merupakan forum global tahunan berkiblatkan bisnes.

Segala-galanya mencari peluang bisnes dan menjalin kerjasama antara negara dan syarikat Islam untuk kepentingan dunia Islam.

Sidang WIEF ini juga mengundang negara bukan Islam untuk turut serta sebab asas penubuhannya bukan bermotif politik tetapi bisnes tanpa sempadan.

Perlu diketahui, WIEF baru tujuh tahun usianya – terlalu mentah jika dibandingkan dengan WEF yang sudah ‘bermisai dan berjambang.’

Ia lahir daripada salah satu resolusi Forum Perniagaan kali kedua Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 2004.

Dengan berlangsungnya sidang WIEF itu sendiri merupakan satu kejayaan besar dan amat perlu dalam keadaan ekonomi global yang suram, lesu dan tidak menentu.

Negara-negara Islam perlu bersatu dalam pendirian dan pergerakan kalau mahu berdepan dengan badai kepincangan ekonomi dunia.

Di sini, peranan WIEF yang digerakkan oleh Malaysia dan beribu pejabat di Kuala Lumpur menyediakan platform terbaik untuk ketua kerajaan, pemimpin industri global dan bijak pandai Islam selain pemimpin generasi muda dan usahawan wanita mencari formula untuk merawat penyakit ekonomi sejagat.

Sebut nama OIC, ramai yang memandang sinis kerana keupayaan sebenarnya belum lagi terserlah walaupun objektif penubuhannya amat besar impaknya kepada dunia Islam. Banyak isu global dunia yang membabitkan kepentingan Islam belum dan gagal diselesaikan.

Justeru itu, WIEF walaupun ia tidak mengikat negara peserta dengan undang-undang tapi ia perlu dipastikan kejayaannya. Kita tidak mahu, WIEF mengikut budaya organisasi dunia lain yang beratus resolusi dan syor namun, kejayaan pelaksanaannya boleh dibilang dengan jari.

Itulah harapan semua negara Islam. WIEF lambang kejayaan dan kekuatan OIC. Tumbang WIEF bermakna pincanglah OIC.

Sejak WIEF bersidang di Kuala Lumpur pada tahun 2005, sejak itu ia tidak pernah gagal dianjurkan.

Sidang seterusnya di Islamabad, Pakistan (2006); Kuala Lumpur (2007); Kuwait (2008), Jakarta, Indonesia, (2009) dan tahun lalu di Kuala Lumpur.

Kata Musa, bos yayasan yang menggerakkan WIEF itu, lebih 2,000 delegasi yang membabitkan lebih 50 buah negara bakal terlibat dalam sidang dua hari itu.

Malaysia akan diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penaung kepada WIEF.

Tema WIEF ketujuh ialah: “Mengglobalisasikan Pembangunan: Berhubung, Bersaing, Bekerjasama.”

Apa jua keputusan dan perkembangan di Astana akan menjadi tumpuan negara-negara lain termasuk bukan Islam. Mereka akan melihat apa lebihnya dan apa istimewanya WIEF.

Sudah tentulah harapan dunia Islam supaya WIEF menemui ramuan yang dapat menyelamatkan dunia keseluruhan daripada badi sistem ekonomi dan kewangan dunia yang semakin pincang dan bercelaru.

Utusan