Wartawan terkilan sikap penganjur konsert Siti Nurhaliza?

Huzz terkejut bila ada rakan-rakan wartawan hiburan yang selama ini banyak menulis publisiti untuk Siti Nurhaliza mengadu susah nak dapat pas masuk ke konsert penyanyi itu yang diadakan di Stadium Tertutup Bukit Jalil, semalam.

Rungutan itu berlaku pada minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum konsert Siti membuka tirai.

Mereka mengadu, “Kami terkejut bila diberitahu oleh penganjur – Kompleks Sukan Negara kalau mana-mana wartawan hiburan mahu tiket untuk ke konsert Siti mestilah terlebih dahulu menunjukkan salinan artikel publisiti mengenai konsert itu yang telah mereka tuliskan sebelum ini.”

Jadinya wartawan yang tak tulis publisiti menguar-uarkan (menghebahkan) mengenai konsert itu tak akan dapat undangan ya? tanya Huzz.

Huzz terus menghubungi Kompleks Sukan Negara (KSN – penganjur utama konsert ini) pada Rabu lalu untuk bertanyakan apa benar undang-undang begitu dibuat?

Rupanya itulah jawapan oleh pegawai di sana. Kalau ada salinan artikel publisiti konsert itu yang dah Huzz tulis sebelum ini, bolehlah Huzz tunjukkan pada mereka.

Tertanya juga Huzz kenapa mesti diadakan undang-undang begitu? Jawapan mereka tempat duduk untuk media terhad. Tidak banyak.

Untuk pengetahuan pihak KSN, sebelum mereka bikin konsert dah ramai promoter kat Malaysia bikin konsert. Stesen tv pun ada buat majlis besar melibatkan artis bernama besar. Tapi dia orang tak susah jemput wartawan.

Mereka beri kad undangan setiap penerbitan terhad kepada dua orang. Tak ada pun diminta salinan publisiti… macam tak percaya kerja wartawan. Patutnya pihak penganjur mesti siang-siang kerat dan simpan sebarang berita publisiti yang dah tersiar mengenai konsert yang mereka nak buat tu. Bukan kerja wartawan pulak nak salin dan hantar kepada mereka. Takkanlah wartawan mesti diperlakukan begitu demi nak dapat pas masuk.

Huzz harap pihak KSN terutama bosnya Abu Bakar Kassim (Presiden Seniman) tidak lagi mengulangi undang-undang begitu.

Ingatlah selama ini wartawan hiburan tak pernah lokek beri Siti Nurhaliza publisiti sehingga dia jadi terkenal hari ini dan sampai pihak Kompleks Sukan Negara berminat nak anjurkan konsertnya. Huzz dan ramai wartawan telah pun memberikan publisiti mengenai konsert Siti ini sejak beberapa minggu lalu.

bagaimanapun semalam ada wartawan yang masuk dengan membeli tiket dan ada yang langsung tidak mahu ke konsert itu kerana terfikir betapa dirinya bagaikan harap sangat nak tiket masuk.

HUZZ: Teringat sajak oleh Perdana Menteri – Melayu Mudah Lupa!

http://www.utusan.com.my.