Wanita Juga Tuntut Kemerdekaan

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


MOHD. Soffi Abdul Razak (empat dari kiri) dan Mohamad Shahrom Osman (tengah) beramah mesra dengan ibu penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Siti Salmah Bachik (duduk, kiri) dan bekas pemimpin wanita UMNO dan NGO di Kuala Lipis kelmarin.

KUALA LIPIS 23 Sept. – Peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam memperjuang kemerdekaan tanah air dan pengisian pembangunan negara amat jelas serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, peranan wanita bukan sahaja mencorakkan keluarga bahagia, malah mereka turut terlibat dalam menuntut kemerdekaan.

“Kita perlu mengikis sikap memperkecil kebolehan wanita, kerana tanpa wanita yang juga ibu, kita tidak akan lahir ke dunia ini dan mengecapi kesejahteraan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Merdeka meraikan 12 wanita bekas pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Wanita UMNO Daerah Lipis di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Naib Ketua UMNO Lipis, Mustafa Long; Ketua Wanita UMNO Lipis, Siti Fatimah Yahya dan Ketua Puteri UMNO Lipis, Hartini Othman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, pemimpin UMNO dan NGO perlu menerapkan sikap tanggungjawab kepada golongan muda supaya menghormati bekas pemimpin wanita mahupun ibu masing-masing.

“Kesedaran ini amat penting supaya generasi muda sentiasa prihatin dan hormat terhadap warga emas, terutama ibu bapa masing-masing.

“Hargailah jasa warga emas dalam kalangan golongan hawa kerana mereka telah terlebih dahulu menjadi individu yang membangunkan negara yang hari ini maju, aman dan harmoni,” ujarnya.

Utusan