Voice of Asia….Tiada Apa Yang Perlu Dipertikaikan.

“Semuanya sudah terbukti dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan matlamat penganjuran pertandingan nyanyian Voice of Asia 2002 yang berlangsung di Almaty, Kazakhstan baru-baru ini.

Penganjuran pertandingan nyanyian yang menghimpunkan 15 peserta mewakili 14 buah negara di seluruh dunia merupakan platform terbaik untuk penyanyi membuktikan kemampuan mereka.

Pancaindera yang membuat liputan eksklusif pertandingan itu mendapati, penganjur pertandingan tersebut yang dinaungi oleh Datuk Bandar Almaty, Viktor Khrapunov menjadikan Voice of Asia sebagai platform untuk penggiat seni dari seluruh dunia berhimpun dan berbincang mengenai perkembangan seni di negara masing-masing.

Lebih daripada itu, matlamat utama penganjur ialah memberikan pengiktirafan tertinggi kepada pemenang. Kerana itu juga, tawaran wang tunai berjumlah RM38,000 (AS$10,000) kepada juara Grand Prix membuktikan Voice of Asia bukan calang-calang pertandingan nyanyian.

Peraturan Voice of Asia menetapkan setiap peserta perlu membuat persembahan selama tiga malam berturut-turut dengan menampilkan imej dan identiti negara masing-masing.

Sejumlah 15 peserta yang mewakili 14 buah negara ialah Singapura, Armenia, Malta, Latvia, Indonesia, Mongolia, Bulgaria, Georgia, China, Filipina, Republik Czechoslovakia, Yugoslavia, Malaysia dan tuan rumah, Kazakhstan.

Kesemua peserta mempunyai reputasi dan rekod pencapaian tersendiri dalam perkembangan kerjaya seni mereka di negara masing-masing. Malah sebilangan besar peserta mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

Menyentuh penyertaan kali kelapan negara dalam pertandingan ini, Voice of Asia 2002 menyaksikan kecemerlangan bintang muda berbakat besar, Siti Nurhaliza melakar satu lagi sejarah dalam hidupnya.

Selepas lapan kali, Siti akhirnya berjaya memecahkan tembok yang selama ini lebih didominasi oleh negara-negara yang kurang popular pada pandangan kita.

Selama ini, negara terlalu dahagakan pengiktirafan tertinggi iaitu juara Grand Prix di Voice of Asia.

Pencapaian tertinggi Malaysia pada pertandingan Voice of Asia selama ini bagaimanapun tidak pernah mengecewakan.

Penyanyi terkenal, Ziana Zain, Anis Suraya dan kumpulan Slam pernah membawa pulang hadiah tempat pertama pada pertandingan yang serupa beberapa tahun dahulu.

Berbeza dengan tahun ini, penghibur muda berusia 23 tahun itu bagaimanapun berjaya merealisasikan cita-cita rakyat Malaysia.

“”Siti percaya kejayaan Siti ini juga hasil daripada doa seluruh rakyat Malaysia. Bukan mudah untuk Siti mencapai kejayaan ini kerana saingan terlalu sengit kerana semua peserta hebat belaka.

“”Apa pun, Siti harus berkongsi kemenangan ini dengan semua dan Siti percaya kejayaan ini juga membuktikan Siti bukanlah jaguh kampung seperti yang sering dianggap oleh sesetengah pihak,”” katanya kepada Pancaindera.

Mingguan Malaysia