USIA JAUH BEZA TIDAK SEMESTINYA TIDAK BAHAGIA

HATI Nenek gembira apabila akhirnya, penyanyi nombor satu Malaysia yang cantik jelita, Siti Nurhaliza, mengumumkan akan menikahi Datuk Khalid Mohd Jiwa atau ‘Datuk K’.

Alhamdulillah, walau siapa pun, kita mesti hormati pilihan Siti. Beliaulah yang empunya diri dan yang nak kahwin. Dan Nenek yakin, Siti sudah timbang baik buruknya dan tidak buat pilihan sebarangan. Dan kata orang, kalau dah jodoh memang tak ke mana.

Ramai yang mempertikai soal umur mereka yang jauh berbeza, Siti 27 tahun, Datuk K pula 47 tahun.

Hmm… 20 tahun jaraknya. Tetapi, apa ada pada umur?

Zaman dulu, ramai pasangan yang jauh beza usia mereka tetapi hidup mereka bahagia dan kebanyakannya ‘cerai mati’.

Cakap pasal umur ni, Nenek teringat cerita ibu kawan Nenek yang bersuamikan seorang duda.

Katanya, waktu si lelaki bersanding dengan seorang wanita jiran mereka, ibu kawan Nenek tu baru berusia 10 tahun. Ibu kawan nenek tu, sambil mendukung adiknya yang baru berusia dua tahun, berebut-rebut dan terjingkit-jingkit nak tengok pengantin bersanding.

Tup…tup… empat tahun selepas itu, ibunya – waktu itu si ibu berusia 14 tahun – naik pelamin dengan lelaki tersebut.

‘Itulah cerita ibu saya. Waktu ibu saya menikahi ayah, ibu berusia 14 tahun dan ayah berusia 44 tahun. Itu maknanya beza usia mereka ialah 30 tahun. Boleh jadi anak dengan ayah. Tapi, mereka hidup bahagia dan berpisah kerana meninggal dunia,’ cerita kawan Nenek tu.

Memang betul. Bagi Nenek, usia bukan ukuran. Kalau pasangan muda sama muda pun, belum tentu bahagia. Tengok saja berapa banyak kes cerai yang melibatkan orang muda.

Bagaimanapun, itu tidaklah bermakna suami atau isteri yang jauh lebih tua daripada pasangannya, atau yang sama-sama tua, gerenti kekal bahagia.

Kata orang, sedangkan lidah lagikan tergigit… Lagipun, ramai juga orang tua yang tak senonoh perangainya!

Bagi Nenek, yang terpenting dalam rumah tangga ialah kematangan suami dan isteri, bertanggungjawab, bertimbang rasa, ada pendidikan, saling mengasihi, hormat-menghormati, mempunyai pekerjaan tetap (adalah duit masuk setiap bulan untuk menyara keluarga), dan yang sangat penting dan tidak boleh diambil ringan ialah pendidikan ukhrawi dan keimanan kepada Allah swt.

Apabila semua itu wujud dalam sesebuah rumah tangga, insya-Allah, bahagialah pasangan itu dan terdidiklah anak-anak dengan akhlak sempurna.

Dan marilah kita doakan kebahagiaan Siti dan Datuk Khalid. Amin.

Nenek