Tunggu Masa

Hip

Tunggu masa
Oleh Rozdan Mazalan

2011/03/07
pix_gal0
Farlyana mahu namanya meledak di pentas hiburan

KEHADIRANNYA di pentas hiburan, terutama dalam arena muzik mungkin masih belum menyerlah.

Namun dengan bakat yang dimiliki selain gaya penampilannya yang menarik, Farlyana Mohamad dilihat mempunyai potensi untuk mencipta nama sebaris dengan penyanyi popular sekarang.
Biarlah masa saja yang menentukan. Ketika ini, gadis berusia 18 tahun itu yang bakatnya dicungkil menerusi Bintang Idola Berita Harian (BIBH) musim pertama iaitu pada tahun 2008, sedang lincah mempromosikan single pertamanya berjudul Setulus Hati.
Perwatakan yang ceria sesuai dengan usia masih muda, menjadikan dunia hiburan kita seharusnya menerima kehadiran Farlyana.

Populariti dalam dunia seni memang diperlukan supaya kerjaya boleh berkembang baik. Tapi pada masa masa, kurang lengkap bagi mereka yang menceburi dalam bidang hiburan ini selagi tidak terpalit dengan cerita gosip sensasi dan kontroversi. Tidak ramai yang menyedarinya.

Jadi, tanpa kekentalan mental dan fizikal mengharungi segala cabaran dan dugaan, bakat saja tidak menjanjikan kejayaan.

Bertuah empunya badan, Farlyana yang memiliki darah seni milik bapanya Mohamad Said atau pernah di gelar Mat Arab untuk terus menyokong kerjaya anaknya.
Menurut gadis tinggi lampai ini, penjagaan dan didikan yang sempurna daripada ibu dan bapanya, menjadikan dirinya lebih sedar dengan kehidupan di luar dan berkeyakinan mengharungi segala-galanya.

“Pada saya, zaman sekarang ini jika kita pandai bawa diri, Insya-Allah bidang nyanyian ini mampu menjamin masa depan yang baik. Disebabkan sekarang ini pun ekonomi kita agak baik, saya yakin untuk memilih bidang seni sebagai kerjaya saya.

“Saya lebih merasa yakin apabila abah dan mak sentiasa berada di sisi, lebih lagi abah adalah orang lama di dalam bidang muzik dan pernah memimpin kumpulan Easy Living dan memperkenalkan Nash (Lefthanded) sebagai vokalisnya.

“Tipulah jika saya tidak takut berhadapan dengan gosip, manalah tahu suatu hari nanti ia bakal berlaku kepada diri saya. Namun saya bersyukur kerana cabaran dan dugaan itu saya tidak menghadapinya berseorangan,” katanya yang akan sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada bapanya.

Bagi Farlyana, asal dirinya pandai menjaga diri, Insya-Allah perkara itu tidak akan berlaku tanpa kita memintanya.

“Saya juga mengambil contoh artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, saya suka jadikan dia sebagai idola saya. Sebelum bergelar penyanyi saya lebih banyak berada di rumah. Abah dan mak sentiasa menjaga dan mengawasi kami lebih-lebih lagi kami adik-beradik, kesemuanya perempuan dan sebab itulah penjagaan itu agak ketat diberikan kepada kami.

“Namun terus terang saya tidak merasa terkongkong dan itulah kehidupan saya seharian hingga hari ini. Jika diikutkan, zaman sekarang ini macam-macam perkara buruk boleh berlaku dan jika kita sentiasa mendengar nasihat mak dan abah kita, Insya-Allah kita akan selamat,” katanya.

Bertuah diberikan pendedahan

Farlyana menjuarai pertandingan BIBH 2008 peringkat Mall yang dicetuskan daripada salah satu pengisian siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Dengan kemenangan itu, Farlyana layak mengikuti pertandingan akhir BIBH 2008 yang pernah berlangsung di Klang Parade dan dia hanya merangkul tempat ketiga.

Pembabitannya bersama ABPBH tidak berhenti di situ saja, malah dengan landasan itu jugalah dia ditawar mengikat perjanjian kontrak sebagai artis rakaman di Millennium Arts selama tujuh tahun. Penganjuran ABPBH2010 kali ini juga tidak ketinggalan membawa Farlyana kesemua destinasi jelajah ABPBH2010.

Dia diberi peluang untuk membuat persembahan pada sesi jelajah promosi ABPBH2010 di SACC Mall, Shah Alam dan Kuantan Parade, Kuantan, Pahang.

“Saya masuk BIBH pada 2008 dulu pun atas sokongan daripada mak. Saya beranikan diri mencuba dan alhamdulillah berjaya. Peluang itu bukan di situ saja tetapi Berita Harian sebagai penganjur ABPBH, menjemput saya menyanyi di majlis ABPBH. Ini memberikan lebih pendedahan saya di dalam industri hiburan ini.

“Sedikit sebanyak, masyarakat mula mengenali saya. Berita Harian satu jenama yang besar dan gah, saya bertuah dapat jadikan ABPBH sebagai landasan memulakan kerjaya mulai hari ini dan sehingga selamanya,” akui gadis ini sambil tersenyum manis.

Gadis yang pernah memasuki program realiti Gangstarz musim kedua bersama pasangan adik-beradiknya dengan menggelarkan nama mereka, South Trio ketika ini sedang berdebar-debar menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sekiranya ada rezeki, saya akan menyambung pelajaran. Tapi untuk saya meninggalkan dunia nyanyian mungkin tidak, kerana saya sejak kecil lagi meminati bidang nyanyian,’ katanya.

kehidupan harian Farlyana tidak pernah membosankan walaupun masa lapangnya banyak dihabiskan di rumah. Selain ibu dan bapanya, dia sudah mempunyai teman yang akan sentiasa menemaninya dan mampu menceriakan hidupnya.

“Coco (ungka, spesis monyet) saya mula pelihara sejak September 2009 ketika umurnya dua bulan. Saya membelinya dengan harga RM1,300 pada pada masa itu, sejak kehadirannya dalam keluarga kami, saya cukup bahagia. Dialah peneman saya,” kata gadis ini.

Berita Harian