Tudung Kain Sifon

KELEMBUTAN fabrik sifon dengan pilihan warna menarik dari lembut dan garang, menjadi aliran terkini dalam rekaan busana tradisional bercirikan moden kontemporari.

Keindahan material itu tidak pernah mengecewakan si pemakai hingga inspirasinya yang mempesonakan itu menjadi pilihan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo untuk meletakkan sentuhannya menjadi lakaran terbaik buat penggemar koleksinya.

Bagi menjadikan himpunan tambah istimewa, rekaan terbarunya dengan lilitan tudung menghiasi kepala mengambil inspirasi gaya kerudung penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

“Bagi mereka yang berjinak-jinak memakai tudung, mungkin ini langkah awal memakainya kerana setiap apa yang dipakai atau diperagakan penyanyi hebat itu mencetus ikutan terkini. “Justeru itu, ramai pereka fesyen mengolah tudung terarah kepada penampilan wanita hebat itu kerana ia amat menarik untuk diketengahkan kepada umum.

“Lagipun, sambutan memberangsangkan penggemar penyanyi nombor satu negara menyarung tudung sopan itu untuk menghadiri majlis eksklusif, untuk perayaan tertentu atau majlis ilmu. Tambahan pula, Aidiladha menjelang tidak lama lagi dan ia boleh mencetuskan gaya hebat seseorang,” katanya.

Gaya pemakaian ringkas dengan lilitan tudung menghiasi kepala kata Calvin, menyerlahkan pesona seseorang yang suka bergaya. Untuk menyesuaikan gaya, dia turut meletakkan hiasan bunga tertentu agar tampak ada kelainannya.

Katanya, jika material sifon digunakan sebagai fabrik tudung, ia lebih menyerlahkan gaya si pemakai. Bagi pereka yang sudah 18 tahun menceburi dunia fesyen, keistimewaan sifon kerana ‘jatuhan’ kainnya mengikut potongan badan dan ‘terletak’ apabila digayakan.

Kebanyakan rekaannya disarungkan selebriti hebat termasuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Sheila Majid dan ramai lagi. Sebarang pertanyaan, kunjungi Prestige Floor (Aras 4), Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur atau layari: calvin thoo-facebook.

Harian Metro