Tuah Pereka Busana Siti Nurhaliza, Zizan

Nasional

Tuah pereka busana Siti Nurhaliza, Zizan
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/04/01
RUZAINI (kiri)    Rizman dan Anizam  (kanan)  menunjukkan trofi  Anugerah Pereka Popular ABPBH di Bilik Pameran Habib, Ampang, semalam.
RUZAINI (kiri) Rizman dan Anizam (kanan) menunjukkan trofi Anugerah Pereka Popular ABPBH di Bilik Pameran Habib, Ampang, semalam.
Rizman Ruzaini, Anizam Pereka Popular

AMPANG: Pereka Rizman Ruzaini berjaya memenangi Anugerah Pereka Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, dua tahun berturut-turut apabila gaun rekaan yang dipakai Datuk Siti Nurhaliza tahun lalu sekali lagi diumumkan pemenang kategori selebriti wanita.
Pada tahun sebelumnya, beliau memenangi anugerah itu menerusi pakaian yang turut digayakan penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu.
Pereka Popular kategori selebriti lelaki pula ialah Anizam Yusof yang menaja pakaian pelakon, pelawak dan pengacara terkenal, Zizan.

Dengan kemenangan itu, mereka masing-masing menerima ganjaran tajaan Habib set barangan kemas bernilai RM10,000 setiap seorang, berserta trofi.

Sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah yang bermakna buat mereka, Rizman berkata kejayaan itu diperoleh dengan kerjasama erat Siti.

“Kami senang bekerjasama dengan Siti kerana beliau tidak cerewet. Baginya, asalkan pakaian cantik dan padan pada tubuhnya, beliau sudah cukup gembira,” kata Rizman yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah untuk Pereka Popular dan 18 pemenang bertuah, di pusat pameran Habib, di sini semalam.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan Habib Jewels, Datuk Meer Habib. Turut hadir, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2010, Hanizam Abdullah.

Anizam pula berkata, beliau menyuntik elemen kelainan bagi menonjolkan imej berbeza bagi pengacara program Raja Lawak itu.

“Selama ini, beliau terkenal dengan karakter yang melucukan. Jadi untuk mengelakkan Zizan nampak stereotaip, saya mencipta sehelai sut yang menampakkan dia lebih serius dan bergaya,” katanya.

Berita Harian