Tingkat Pelancongan Dua Negeri

Oleh MAZLINDA MURTADZA
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian peserta bersama kakitangan Tourism Perlis melihat proses pembuatan coklat D’Kawi di Kuala Perlis, baru-baru ini.

SEREMBAN 15 Dis. – Tourism Malaysia negeri ini akan mengeratkan hubungan dengan Tourism Malaysia negeri Perlis bagi meningkatkan kedatangan pelancong di antara kedua-dua negeri berkenaan.

Kerjasama itu dijalankan kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Antara daya tarikan kedua negeri tersebut ialah kepelbagaian makanan tradisional yang unik.

Negeri Sembilan terkenal dengan masak lemak cili api. Atas faktor tersebut, Tourism Malaysia negeri ini menganjurkan program Perlis Food Trail, baru-baru ini.

Seramai 40 orang delegasi dijemput menjadi peserta yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan dari seluruh negara.

Delegasi dari negeri ini dan ejen pelancong sekitar Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kesempatan menyaksikan demonstrasi masakan lemak ikan pekasam Belimbing Buluh yang cukup popular di Perlis.

Belimbing buluh adalah sumber makanan yang sukar didapati. Bagi penggemar masakan itu sudah pasti ingin mencubanya sekali lagi setelah merasa keenakan menu tersebut.

Peserta turut berkesempatan melihat perusahaan dried mango di Kangar dan demonstrasi membuat sabun buatan tangan.

Anggota rombongan turut dibawa melawat Homestay Felda Mata Ayer yang terkenal dengan Ladang Buluh Madu.

Di homestay itu pengunjung dibawa melawat ladang dan melihat cara-cara memproses rebung madu, jeruk dan cakar ayam.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke pasar ‘nat’ pokok getah, Pauh Putra dan meninjau perusahaan Belacan Madu dan jualan ikan masin.

Destinasi terakhir, peserta dibawa menikmati Laksa Kuala Perlis dan pulut udang.

Kuala Perlis turut memiliki keunikan yang tersendiri iaitu pembuatan coklat di kilang DKawi.

Menariknya, pengunjung boleh menikmati coklat bersalut strawberi yang turut digemari penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang dijadikan tarikan utama di pintu utama kilang.

Secara keseluruhannya, program itu mendedahkan kepada orang ramai dalam peningkatan ekonomi sesebuah negeri dan mempromosikan produk ekopelancongan.

Utusan