Tidak kisah apa orang kata

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Siti mahu Kat hadapi pancaroba anak seni

ANTARA enam protege program Mentor, ada yang menyifatkan nasib Siti Khatijah Hassan (19) atau ringkasnya Kat, kurang bernasib baik kerana mentornya, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin (Siti), tidak dapat memberi memberi sepenuh tumpuan kepadanya.

Ini kerana apabila Mentor 2 baru hendak bermula pada Julai lalu, Siti pula sibuk membuat persiapan perkahwinannya dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Bagaimanapun, Kat yang juga adik ipar kepada penyanyi rock unggul, Amy Search yang berpengalaman menyanyi di kelab malam terus mengharungi cabaran itu dengan hati yang tabah.

0112kat1.jpg
IDOLA…Kesibukan Siti memberi ruang kepada Kat untuk berdikari

Setiap minggu Kat berjaya menampilkan persembahan mantap dengan imej yang begitu meyakinkan walaupun vokalnya sering dikritik juri program itu.

Selepas majlis akad nikah dan persandingan pada 21 dan 28 Ogos lalu, Siti kembali sibuk dengan kerjaya seninya dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Berikutan kesibukan Siti yang bertali arus, Kat banyak dibimbing Azmeer atau nama sebenarnya, Mohd Azhar Abu Bakar selaku penyelaras vokal Mentor. Kat juga berguru dengan guru vokal, Juliza Adlizan.

Impak daripada apa yang berlaku, timbul cakap belakang mengatakan sekiranya Kat berjaya meraih gelaran juara pada pertandingan akhir program itu di Wisma MBSA, Shah Alam pada 3 Disember ini, ia adalah atas usaha protege itu sendiri.

Mengulas perkara itu, ketika ditemui di Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Rabu lalu, Siti berkata, dia terima apa saja tanggapan orang ramai mengenai peranannya sebagai mentor kepada Kat.

“Saya tidak ambil hati langsung sekiranya ada yang membuat andaian begitu. Lagipun selepas ini (habis program Mentor) dia pun perlu berusaha sendiri untuk menempatkan dirinya dalam arena seni tanah air.

“Baguslah kalau dia mampu berdikari dari sekarang. Supaya dia tidak kekok berhadapan dengan pancaroba sebagai anak seni. Tak apalah orang mahu kata apa pun.

“Bagaimanapun, selepas ini jikalau Kat perlukan nasihat, saya bersedia berkongsi pendapat dengannya. Kat pasti ada impiannya sendiri.

“Tambahan lagi, saya sendiri tidak tahu apa perancangan TV3 selepas ini. Oleh kerana TV3 adalah penganjur program ini, pasti mereka ada merencanakan sesuatu untuk protege mereka,” katanya.

Pun begitu, bagi menghadapi cabaran peringkat akhir Mentor, Siti memperuntukkan sebahagian besar waktunya untuk menyiapkan Kat. Terutama empat lagu yang bakal dipersembahkan Kat pada malam itu.

0112kat2.jpg
SERASI…Siti tegas didik Kat

Empat lagu pilihan Siti untuk protegenya itu yang dirasakan sesuai dengan vokal dan imej Kat yang begitu menggemari genre rock, Big Spender, Langit Ketujuh, Kita Insan Biasa dan Nuri.

Mereka berdua akan berduet menerusi lagu Big Spender. Manakala lagu Nuri pula, Kat akan berduet dengan artis undangan.

“Sehingga kini belum pasti lagi siapa pasangan duet Kat kerana kebanyakan penyanyi yang dihubungi sibuk.

“Walaupun minat Kat menjurus kepada rock tetapi saya mempelbagai genre lagu untuknya supaya dia tidak terikat dengan satu irama saja.

“Sukar untuk mencari lagu duet, ada kala key kedua-dua penyanyi jarang yang sama. InsyaAllah, sekiranya selepas ini saya ada projek album baru, saya akan jemput Kat menyanyi bersama saya dalam album itu.

“Walaupun setiap minggu Kat dikritik juri tetapi dia ada pengundi tetap. Kat mempunyai ciri seorang penghibur yang baik dan ada stail sendiri. Kalau kena aliran muzik yang dipilihnya dia boleh pergi jauh dalam persada seni,” katanya.

Sementara itu, Kat pula berkata, dia memahami situasi yang dialami Siti. Siti berkesempatan membimbingnya pada Battle pertama, separuh akhir dan peringkat akhir Mentor.

“Ketika saya bersaing pada Battle kedua, Siti berkahwin. Lagu untuk peringkat akhir esok, semua Siti yang pilih. Lagipun kami memang jarang dapat berjumpa.

“Kebanyakan lagu pilihan Siti saya biasa dengar tetapi tak pernah menyanyikannya. Apapun saya akan buat yang terbaik nanti.

“Kian hampir ke peringkat akhir Mentor, semakin takut memikirkannya. Juri akhir pertandingan ini hebat belaka. Ia menambahkan lagi kegugupan saya,” katanya.

Mengenai ketiadaan Siti ketika dia bergelut menghadapi saingan demi saingan dengan protege lain pada setiap minggu. Kat berkata orang tidak tahu keadaan yang sebenar.

“Andai kata, saya berjaya ia bukan usaha saya seorang. Sesekali bertemu, Siti banyak memberikan tunjuk ajar. Jika sebelum ini dia banyak berlembut dengan saya tetapi sekarang dia lebih tegas.

“Saya faham dia lakukan begitu demi kebaikan saya juga. Bagaimanapun, bila tengok mentor kepada protege lain ada di pentas, hati berdetik juga tanpa Siti di sisi.

“Terasa sedih juga bila pada separuh akhir hari itu, Siti tak datang,” katanya.

Komennya mengenai kemasukan semula Nuriylia Jailani (22) atau Nieyl, Kat berpendapat ia rezeki masing-masing.

“Saya tidak rasa apa-apa dengan kemasukan semula Nieyl. Ia semua ditentukan penganjur. Paling mustahak sekarang, kami bertiga akan bersaing secara sihat dan lakukan yang terbaik,” katanya.

Peserta Mentor lain yang gagal meneruskan cabaran masing-masing, Rahayu Baharudin (Ayu), 23, Hidayah Othman (Eiya), 19 dan Syed Afrizal Syed Alwi (Rizal), 18.

Juara Mentor akan menerima wang tunai RM50,000 serta kontrak bersama syarikat rakaman EMI, pemenang kedua, RM20,000 dan ketiga, RM7,000. Mereka juga menerima trofi pertandingan.