TENGKU ZAWYAH DAPAT BAYI

DI tengah-tengah orang asyik bertanya sama ada penyanyi Siti Nurhaliza sudah berbadan dua atau tidak, bekas isteri Datuk K pula yang menimang cahaya mata.

Tengku Zawyah Tengku Izham, 43 tahun, mengakui beliau amat bahagia apabila menerima kehadiran ‘orang baru’ sebagai penyeri kehidupan beliau dan anak-anaknya pada Hari Raya ketiga.

Setelah mempunyai empat anak lelaki kandung yang berusia antara lapan dengan 19 tahun, Tengku Zawyah kini mengambil seorang bayi perempuan, Puteri Eiliyah Erina, lapor akhbar Mingguan Malaysia.

‘Kak Ku (panggilan manjanya) memang suka budak-budak. Bila dapat pula anak angkat perempuan, memang gembira sangat.

‘Maklumlah empat orang anak Kak Ku semuanya lelaki. Bila ada seorang puteri, gembira tidak terkata. Malah anak-anak Kak Ku pun sayang sangat dekat adik mereka ini,’ katanya.

Sebelum mendapat Puteri Eiliyah Erina, Tengku Zawyah sempat membeli lima buah buku untuk memilih nama anaknya itu. Akhirnya nama yang dicadangkan anak sulungnya, Anas, juga menjadi pilihan.