TENGKU ZAWIYAH DOA KEBAHAGIAAN ‘DATUK K’ DAN SITI

KUALA LUMPUR: Bekas isteri peniaga Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Tengku Zawiyah Tengku Izham, berharap bekas suaminya bertemu kebahagiaan yang dicari-carinya selama ini dalam pangkuan bakal isterinya, penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin.

Menurutnya, beliau redha dengan ketentuan takdir bahawa perkahwinan yang dibina selama lebih 20 tahun bersama ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai ‘Datuk K’ itu sudah berakhir.

‘Saya terima qadak dan qadar Allah dan berharap semoga beliau bertemu dengan kebahagian yang dicari-carinya selama ini,’ katanya kepada Mingguan Malaysia sebagaimana ditukil Utusan Malaysia.

Tengku Zawiyah, 43 tahun, juga bersyukur kerana perkara yang membabitkan pembahagian harta sepencarian dengan Datuk Khalid berjaya diselesaikan, kelmarin.

Melalui tuntutan itu, Datuk Khalid, 47 tahun, menyerahkan dua buah rumah berkembar dan sebuah banglo empat tingkat yang kesemuanya mencecah hampir RM9 juta kepada bekas isterinya itu.

Turut dipersetujui dalam perbincangan harta sepencarian dengan bekas isterinya itu ialah, Datuk Khalid perlu menyediakan peruntukan tambahan yang meliputi kos percutian tahunan, perbelanjaan bulanan, insurans, kos perubatan serta kos penyelenggaraan dan keperluan rumah.

‘Apa yang penting, kami dapat menyelesaikan hal berkenaan dengan baik. Kami juga bersetuju bersama-sama menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak dengan sepenuh kasih sayang,’ katanya.