Tata Young kagumi Siti

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

IMPIANNYA untuk menakluki pasaran muzik dunia bukan angan-angan kosong. Dia yang menjadi simbol kebangkitan bintang Asia kini menanti masa untuk mengharumkan namanya di pentas antarabangsa menerusi album Inggeris keduanya, Temperature Rising.

Cantik, seksi, energetik, bijak, bergaya, boleh menyanyi dan berlakon — itulah kelebihan Tata Young atau nama sebenarnya, Tata Amita Marie Young. Dengan pakej lengkap, tiada apa dapat menghalang penyanyi popular kebanggaan Thailand ini daripada terus mara menjengah pasaran Barat, selain mengukuhkan lagi kedudukannya di rantau Asia.

Kesungguhannya terbukti ketika berkunjung ke ibu kota baru-baru ini bagi memenuhi jadual promosi album Temperature Rising. Tata yang bergelar artis rakaman ketika berusia 14 tahun berkata, dia bersedia menyahut cabaran untuk melebarkan sayap di persada seni antarabangsa.

Pun begitu, katanya, sebelum melangkah lebih jauh, dia harus memastikan album terbarunya diterima di Asia terlebih dulu.

“Saya harus pikat hati peminat di rantau Asia kerana mereka banyak menyokong karier saya sepanjang 10 tahun ini. Selepas mempromosi album ini di Kuala Lumpur, saya bergegas ke Singapura dan disusuli pula Indonesia. Pertengahan bulan depan, saya akan mengadakan konsert besar-besaran di negara kelahiran saya.

“Jika segalanya berjalan lancar, saya akan ke Jepun sekali lagi tahun depan. Sebelum ini saya melancarkan album Temperature Rising di sana. Ini sebagai tanda penghargaan kerana album saya mencatat jualan paling tinggi di sana,” katanya yang berdarah kacukan Thailand-Amerika.

Tata yang terharu apabila peminat dari negara luar menyanyikan lagunya, lebih-lebih lagi dalam bahasa Thai, berkata sebagai langkah awal menjengah pasaran antarabangsa, dia akan mencuba nasib di Eropah.

“Sasaran saya seterusnya adalah menembusi pasaran Eropah, Australia dan kemungkinan besar Amerika Syarikat. Ia bukan usaha mudah, saya perlu bekerja keras demi memastikan impian ini menjadi realiti.

“Saya bertuah bernaung di bawah Sony-BMG kerana syarikat rakaman gergasi ini memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menentukan haluan muzik saya.

“Menerusi syarikat ini juga, saya berpeluang bekerjasama dengan ramai komposer terkenal seperti Paul McCartney, Diane Warren, Natasha Beddingfield, Adam Anders serta Nikki Hassman. Tidak ketinggalan penggubah lagu dan penulis lirik Bollywood, Sandeep Chowta serta Vipin Kakkar,” katanya.

Lebih menggembirakan, Temperature Rising juga mendapat sentuhan produser Alex G yang pernah menerbitkan album Michael Jackson, N’Sync, Britney Spears, Ricky Martin, Duran Duran, Pink, Christina Aguilera dan ramai lagi.

“Album ini berbeza daripada album terdahulu, di mana saya mengetengahkan elemen pop, hip hop dan R&B. Tidak banyak penyanyi Asia menghasilkan album seperti ini dan ia secara tidak langsung memudahkan lagi laluan saya untuk mencuri perhatian pencinta muzik.

“Menerusi album ini, lagu El Nin-Yo! dipertaruhkan sebagai single. Rentaknya yang rancak mudah menambat hati sesiapa saja. Klip video lagu ini diarahkan oleh Richie Moore yang pernah menghasilkan muzik video untuk artis popular Barat seperti Destiny’s Child, Andy Warhols dan Red Hot Chili Peppers,” kata Tata yang bangga apabila ada pihak melabelkannya sebagai Britney Spears Asia.

Selain El Nin-Yo!, album ini membariskan lagu Back Outta This, I Want Some Of That, Come Rain Come Shine, Uh Oh, Betcha Neva, Zoom, For You I Will, I Must Not Chase The Boys, I Guess I Never Knew My Baby, Superhypnotic dan sebuah lagu Hindi-Inggeris, Mila Mila.

Dalam rancak berbual, penyanyi yang ingin menurut jejak langkah ratu pop Madonna ini tidak ketinggalan menyuarakan minatnya untuk berduet dengan Siti Nurhaliza satu hari nanti. Dia yang mengkagumi suara Siti menyifatkan penyanyi tersohor itu sebagai Mariah Carey Asia.

Mengulas imej seksi yang sinonim dengan dirinya, Tata yang sentiasa murah dengan senyuman menjelaskan, itu bukan dirinya yang sebenar, sebaliknya penampilan itu hanya untuk kerjaya. Dalam kehidupan realiti, dia gadis biasa yang selesa memakai jeans dan kemeja T.

“Saya bukan seperti yang anda lihat di televisyen, kulit album mahupun media cetak. Hakikatnya, saya gadis biasa yang tidak jauh berbeza dengan anda semua.

“Mungkin dalam video muzik El Nin-Yo! anda nampak saya seksi dan liar, tapi itu bukan gambaran sebenar diri saya. Ia hanya fantasi dan jauh berbeza daripada kehidupan realiti saya,” kata Tata sambil menegaskan, gelaran selebriti menuntutnya berpesonaliti unik.