TARIKH ISRAK MIKRAJ DIJANGKA HARI NIKAH SITI DAN DATUK K

TARIKH peristiwa Nabi Muhammad saw berjalan ke Baitulmakdis dan kemudian naik ke langit, atau Israk Mikraj, dijangka menjadi hari paling bersejarah bagi penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin – beliau dikatakan akan bernikah dengan Datuk K pada tarikh 27 Rejab itu, iaitu 21 Ogos ini.

Majlis persandingan besar-besaran penyanyi nombor satu Malaysia itu dengan Datuk K pula dikatakan akan berlangsung pada 27 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Mengikut sumber terdekat dengan Siti, 27 tahun, rombongan Datuk K, yang nama penuhnya Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47 tahun, dan keluarganya ke rumah Siti di Kampung Sungai Kerpan, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini sebenarnya adalah untuk tujuan merisik.

Walaupun Datuk K dan ibu Siti menafikan kunjungan itu mempunyai kaitan dengan sebarang usaha merisik atau meminang, sebenarnya itulah yang berlaku.

Rombongan Datuk K, yang dilaporkan berada di rumah Siti dari 11 pagi hingga 4 petang, datang bukan saja bagi adat merisik bahkan membincang dan menetapkan hari pernikahan dan persandingan.

‘Apa yang dilaporkan adalah betul kerana Datuk K dan keluarganya bukan datang kosong. Ia kunjungan yang bermakna. Mungkin hari itu beliau belum bersedia untuk mengumumkan kerana tidak menyangka pihak media juga akan berada di Kuala Lipis ketika itu,’ kata sumber itu.

Kisah percintaan pasangan ini mula menjadi bahan bualan umum mula tahun lalu. Meskipun kedua-duanya tidak pernah menyatakan secara terus terang, ia menjadi rahsia yang terbuka sejak awal tahun ini apabila bibit percintaan mereka mula terbongkar sedikit demi sedikit.

Sejak awal bulan ini pula, timbul khabar mengenai perkahwinan mereka dan tarikh 8 Ogos sebagai hari pernikahan. Ini dikuatkan lagi dengan gambar kereta Mercedes Benz hitam Datuk K bersama beberapa kereta lain di hadapan rumah keluarga Siti, yang disiarkan media baru-baru ini.

Sementara itu, laman web rasmi Siti, sitizone.com, terpaksa ditutup apabila berlaku ‘perang’ antara peminat berhubung rancangan penyanyi itu mahu menikahi Datuk K.

Laman itu dikatakan ditutup tengah hari semalam kerana sehingga 11 pagi masih ada peminat yang sempat menghantar ulasan mereka. Dimiliki Siti Nurhaliza Production (SNP), laman itu menyediakan pelbagai maklumat mengenai Siti, seperti album terbaru, poster dan kegiatan beliau.

Tindakan menutup ruangan sembang itu menimbulkan kemarahan para peminat Siti sehingga ada mendakwa beliau seolah-olah mahu menyembunyikan hal sebenar berhubung rancangan perkahwinannya.