Tarikan Celine Dion

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

BERAKSI bersama salah seorang pemuziknya. Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

APA sahaja tentang penghibur kelahiran Charlemagne, Quebec, Kanada ini semuanya akan mendapat perhatian yang cukup meluas.

Dia bukanlah seperti kebanyakan artis popular yang lain yang mencipta populariti murahan semata-mata untuk menempatkan diri dan meraih perhatian.

Hanya dengan bakatnya yang cukup luar biasa itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia bukanlah calang-calang penyanyi yang lahir semata-mata untuk meraih populariti tetapi lebih kepada penonjolan bakat yang ada dalam dirinya itu.

Memulakan karier seninya seawal usia 15 tahun, Celine Marie Claudette Dion atau lebih dikenali dengan nama Celine Dion di seantero dunia, menyedari bahawa perjalanan seninya bukanlah semudah yang disangka.

Terlalu banyak onak dan duri yang perlu ditempuhinya dalam memastikan bakat luar biasanya itu mendapat perhatian ramai.

“Apa yang saya lakukan semuanya kerana minat yang mendalam terhadap muzik dan saya sedar saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Yang penting bagi saya ialah kebahagiaan dan kegembiraan yang peminat saya rasai menerusi album dan hasil karya saya. Saya akan berasa gembira jika mereka puas hati dengan setiap album yang saya lahirkan kerana mereka yang tidak henti menyokong saya dan saya perlu terus memberikan yang terbaik buat mereka.

“Malah, saya juga tidak kisah jika ada yang mengatakan saya tidak sepopular artis-artis lain kerana tidak mahu hanyut dengan populariti.

“Bukan itu sahaja, saya juga tidak mahu mengikut trend terkini dalam usaha meletakkan diri saya di carta populariti. Saya masih di sini dengan bakat yang dikurniakan kepada saya,” kata penghibur berusia 40 tahun ini pada sidang media di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur beberapa jam sebelum berlangsungnya konsert solonya di Stadium Merdeka, malam kelmarin.

Kehadiran sulung Celine ke Malaysia adalah bersempena dengan konsert jelajah dunianya, Taking Chances World Tour 2008 yang bermula di Johannesberg, Afrika Selatan pada 14 Februari lalu.

Apa yang membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dipilih sebagai lokasi konsert jelajah dunianya itu dan negara kedua Asia selepas Shanghai, China yang menyaksikan penyanyi bersuara mantap itu membuat persembahan pada 11 April lalu.

Malah, dengan cukup rendah diri, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Where Does My Heart Beat Now yang dipetik dari album Inggeris pertamanya, Unison pada tahun 1990 ini, kejayaannya mengekalkan reputasi sebagai seorang penghibur yang sofistikated selama 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni adalah bersandarkan sokongan yang tidak pernah putus dari orang di sekelilingnya.

“Saya masih ingat lagi pengurus saya, Ren
 Ang
lil yang kemudiannya menjadi suami saya pada tahun 1994 sanggup mencagarkan rumahnya semata-mata untuk mencari wang untuk membawa dan memperkenalkan saya kepada orang-orang penting dalam industri muzik dalam proses melahirkan album Perancis pertama saya, La voix du bon Dieu.

“Sehingga ke hari ini, suami, anak, rakan-rakan serta peminat saya tidak pernah berhenti menyokong saya dan terus memberikan semangat buat saya untuk terus menjadi seorang penyanyi dan penghibur.

“Meskipun saya hampir membuat keputusan untuk berhenti menyanyi selepas melahirkan anak sulung saya, Rene-Charles Dion Angelil pada tahun 2001, namun, saya sedar saya tidak dapat berbuat demikian.

“Ini adalah kerana minat dan cinta saya terhadap muzik begitu mendalam dan tidak mungkin saya akan melepaskan begitu sahaja.

“Sejak berumur 15 tahun, saya tahu saya mahu menjadi seorang bintang dan akhirnya, saya terus berada di sini,” kata Celine yang pernah menerima lima anugerah Grammy sejak mula menerobosi pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1990.

Sebagai seorang artis senior yang kejayaannya bukanlah datang bergolek, Celine sempat memberikan nasihat dan panduan buat mereka yang mahu menjadi seorang anak seni.

“Saya tidak ada resipi istimewa dalam mempertahankan kedudukan saya sebagai seorang penghibur (ketawa).

“Cuma, pada saya perkara pokok untuk terus bertahan dalam apa sahaja bidang yang kita lakukan adalah kerja keras dan usaha yang pastinya, anda akan nampak hasilnya peringkat demi peringkat.

“Menjadi anak seni ini juga sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Selain bakat, personaliti dan masa juga memainkan peranan penting dalam pembentukan dalam menjadi seorang artis.

“Malah, tuah dan rezeki juga merupakan elemen penting buat seseorang artis itu untuk terus bertahan dalam tempoh yang lama,” jelasnya penuh optimis.

Apa yang menarik tentang wanita ini adalah apabila dia cukup ralit bercerita tentang kehidupannya sebagai seorang ibu yang tiada kata yang mampu dilafazkannya bagi menggambarkan kebahagiaanya.

“Bayangkan, sewaktu saya kembali ke persada seni dengan membuat pertunjukan di Caesars Palace, Las Vegas selama empat tahun bermula tahun 2003, anak saya baru sahaja belajar merangkak dan kini dia sudah pun berusia tujuh tahun.

“Terbit juga perasaan risau dalam hati saya seandainya saya tidak mampu memberikan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan anak saya. Tetapi, saya sedar bahawa karier dan keluarga adalah dua perkara yang cukup berbeza.

“Akhirnya, saya berjaya mengimbangi kedua-duanya dan saya berasa bahagia serta bersyukur dengan apa yang telah saya nikmati kini. Menjadi seorang ibu sememangnya merupakan pengalaman yang cukup indah dan berharga dalam hidup saya,” ungkap Celine yang merupakan anak bongsu daripada 14 adik-beradik itu lagi.

Namun begitu, jelas pemilik vokal lagu paling popular di dunia iaitu My Heart Will Go On itu lagi, dia tidak akan terus memandikan anaknya itu dengan limpahan kemewahan dan kesenangan kerana dia mahu anak lelakinya itu menghargai hidup dan sedar tentang kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik.

“Sebagai contoh dalam rancangan Idol Gives Back yang disiarkan baru-baru ini, kami sekeluarga telah berkunjung ke Afrika untuk membantu masyarakat di sana.

“Saya bawa sekali anak saya dan apa yang saya nampak, dia tahu tentang apa yang berlaku dan turut membantu memberi makan dan minum kepada mereka. Saya mahu dia tahu dan sedar serta melihat dirinya begitu bertuah berbanding orang lain,” ujar satu-satunya artis wanita yang berjaya mencatatkan penjualan album melebihi 200 juta unit di seluruh dunia.

Konsert Celine cukup bertenaga

PENANTIAN untuk menyaksikan persembahan satu-satunya artis wanita paling berjaya di dunia ini akhirnya berbalas apabila Stadium Merdeka menjadi saksi dengan bergemanya suara lantang dan mantap oleh Celine.

Ternyata kehadirannya sememangnya dinantikan meskipun pada awalnya, konsertnya itu dijadualkan berlangsung pada 8 April lalu.

Tetapi disebabkan mengalami sakit tekak selepas mengadakan persembahan di beberapa buah bandar di Australia, konsertnya itu ditunda ke 13 April dan yang pastinya, itu sedikit pun tidak merobah kesetiaan peminatnya untuk menyaksikan persembahan hebat Celine.

Memulakan persembahannya tepat pukul 8.45 malam, hanya dengan mengenakan gaun pendek beserta seluar hitam panjang dan but hitam, Celine menyampaikan lagu I Drove All Night yang berjaya menimbulkan suasana yang cukup meriah dengan pekikan para peminatnya yang mahu mendengarkan sendiri kehebatan vokalnya secara langsung.

Malam yang dingin kerana hujan di sebelah siangnya menjadi hangat saat Celine melontarkan vokalnya menerusi lagu yang menaikkan namanya di persada muzik antarabangsa iaitu The Power of Love.

“Saya diberitahu ketika ini hujan tidak menentu di negara ini dan ia membuatkan saya begitu risau. Ternyata, malam ini begitu indah dengan sinaran bulan yang akan mengiringi persembahan saya malam ini,” kata Celine yang turut mengungkapkan ucapan ‘terima kasih’ di dalam bahasa Malaysia.

Meneruskan persembahannya dengan lagu Taking Chances, penyanyi ini membuktikan pada usia 40 tahun, suaranya masih lagi mantap dan ampuh sebagaimana dia mula menjengah pasaran muzik antarabangsa hampir 18 tahun yang lalu.

Aura

Rangkaian lagu-lagu It’s All Coming Back To Me Now, Because You Loved Me dan To Love You More sudah cukup membuktikan penyanyi ini mempunyai aura tersendiri yang tidak ada pada mana-mana penyanyi seangkatannya.

Tidak perlu menari lincah mahupun berceloteh panjang yang merapu, kekuatan Celine sememangnya terletak pada vokalnya yang mampu dan bisa menggamit pendengar dan penonton untuk terus menonton persembahannya meskipun ada beberapa lagu nyanyiannya kurang mesra di telinga terutama lagu-lagu dari album terbarunya, Taking Chances.

Hampir 20 buah lagu yang dinyanyikannya, sedikit pun tidak mendengar suaranya terkucil mahupun tergelincir dari landasannya.

Malah, rangkaian lagu-lagu rancak seperti Eyes On Me, I’m Alive, River Deep, Mountain High serta rangkaian lagu-lagu berentak soul seperti It’s a Man’s Man’s Man’s World, That’s Just the Woman in Me dan Love Can Move Mountains juga membuktikan C
line sememangnya penghibur sejati.

Bukan itu sahaja, kerana mengagumi kehebatan kumpulan rock legenda Queen terutama penyanyi utamanya, mendiang Freddie Mercury, Celine turut mengadakan segmen khas bagi mengenang kembali lagu-lagu kumpulan itu yang pernah menggegarkan dunia iaitu We Will Rock You dan The Show Must Go On dengan gayanya yang tersendiri.

Malah, Celine turut berduet dengan salah seorang penyanyi latarnya, Barnev Valsaint menerusi lagu I’m Your Angel yang sebelum ini R. Kelly yang menjadi pasangan duet Celine menerusi lagu indah itu.

Bagaikan tidak lengkap persembahannya tanpa menyampaikan lagu My Heart Will Go On, Celine sempat bertukar busana kepada gaun kuning cair sebelum mengalunkan lagu tema filem Titanic itu yang pernah mencipta fenomena besar pada tahun 1998.

Ternyata, sudah 10 tahun berlalu, kemantapan vokal Celine menerusi lagu ciptaan James Horner dan Will Jennings masih lagi ampuh dan berbisa serta mengimbau kembali nostalgia perjalanan filem paling laris di dunia itu.

Kehebatan Celine di atas pentas tidak boleh disangkal lagi dan ternyata dia sememangnya dilahirkan sebagai seorang penghibur hanya dengan berbekalkan suaranya yang mampu memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Beberapa artis tempatan dan seberang, turut hadir menyaksikan persembahan Celine antaranya Datin Seri Siti Nurhaliza yang sememangnya peminat setia Celine Dion turut hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Nora bersama suami, Johan Nawawi, Ezlynn, Fara Fauzana, Amy Searh dan isteri, Rossa, Ruth Sahanaya, serta Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Powered by Utusan Malaysia