Syor Sedia Kedai Muat Turun Asli Lagu MP3

Surat

Syor sedia kedai muat turun asli lagu MP3

2012/01/05
BARU-BARU ini Berita Harian melaporkan mengenai kegiatan memuat naik filem Ombak Rindu di YouTube dalam format definisi tinggi (HD) oleh dua individu tidak bertanggungjawab, menyebabkan pihak penerbit filem itu kehilangan hasil hampir RM1 juta dalam masa 24 jam jika dikira mengikut jumlah penonton video berkenaan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah menyekat laman The Pirate Bay dan sembilan laman perkongsian fail lain atas alasan mahu membanteras cetak rompak. Semuanya menunjukkan betapa parahnya gejala cetak rompak di Malaysia yang boleh mengancam industri hiburan tempatan.
Jika sebelum ini, artis rakaman boleh berbangga dengan penjualan album melepasi 100,000 unit pada 1990-an, kini mereka hanya mampu menjual beberapa ribu unit saja dan jualan melebihi 10,000 unit oleh artis seperti Datuk Siti Nurhaliza pun dianggap sudah cukup baik.
Angka jualan album yang begitu merosot ini membawa kepada penutupan beberapa syarikat rakaman termasuklah NAR Music dan Maestro Talents.

Bagaimanapun, langkah menyekat laman perkongsian fail yang dilakukan SKMM tidak wajar serta membangkitkan kemarahan pengguna internet terhadap kerajaan. Langkah itu disifatkan sebagai ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Oleh itu, langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu pencabulan hak cipta ini ialah melalui kerjasama antara kerajaan melalui SKMM serta pemain industri hiburan seperti YouTube serta pengendali laman perkongsian fail.

SKMM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga wajar membangunkan program usahawan muat turun asli dengan mengadakan kedai muat turun asli seluruh negara di mana lagu MP3 boleh dimuat turun secara sah.

Apa pun, kesedaran pengguna mengenai harta intelek penting kerana mentaliti pengguna Malaysia yang mahukan produk percuma atau murah tanpa mengira status hak cipta adalah punca utama gejala cetak rompak sukar dibendung.

Pengguna sepatutnya tidak pentingkan diri sendiri dan menzahirkan sokongan terhadap artis tempatan dengan membeli atau memuat turun produk asli.

SQUALL_SHINODA,

Kuala Lumpur.

Berita Harian