Sudirman terus di kagumi- Sekitar program HMI Sudirman Dalam Kenangan.

Oleh: SAHARUDIN MUSTHAFA

TIADA siapa yang boleh menafikan hakikat bahawa hubungan bekas penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) begitu dekat sekali.

Bakat Allahyarham Sudirman dicungkil ketika dia memenangi pertandingan Bintang RTM pada tahun 1976.

Seterusnya sehingga ke penghujung usianya, penghibur kelahiran Temerloh, Pahang itu tetap setia dengan stesen televisyen tertua negara.

Lantaran itu, usaha RTM mengenang sepuluh tahun pemergian allahyarham ke alam barzakh menerusi rancangan Hiburan Minggu Ini (HMI) Sudirman Dalam Kenangan yang diadakan Ahad lalu dianggap terlalu istimewa.

Ia dibuat bukan sekadar untuk hiburan. Bahkan, penerbit rancangan itu Jack Nadarajah turut mengimbau kenangan, sejarah pahit dan manis yang pernah dilalui oleh penghibur kebanggaan Malaysia itu yang popular dengan jolokan The Singing Lawyer.

Selama hampir dua jam, HMI Sudirman Dalam Kenangan disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri dengan menampilkan gabungan penghibur muda dan senior.

Mereka terdiri daripada Kelvin Lau, Nassier Wahab, Rohana Jalil, Datin Seri Manimala, Fazley, Fauziah Latiff, Siti Nurhaliza dan Syafinaz.

Kesemuanya memilih menyampaikan lagu-lagu pelbagai tema seperti cinta dan patriotik yang pernah dipopularkan oleh Sudirman.

Personaliti N.D. Lala pula bertindak sebagai narator membacakan liku-liku kehidupan Sudirman dan latar belakang lagu-lagu yang pernah mempopularkan penyanyi itu.

Persembahan bersifat tribute buat legenda negara itu terlalu istimewa.

Sudirman wira seni negara pergi menghadap Ilahi pada 22 Februari 1992.

Sedekad sudah berlalu tetapi dunia seni tanah air masih ternanti-nanti siapakah yang bakal mewarisi bakat besar Sudirman.

Semangat juang yang tinggi serta kecintaan Sudirman kepada negara masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana artis lain.

Semangat kecintaan itu juga banyak dipancarkan dalam karya-karya seninya seperti lagu Tanggal 31 yang menceritakan mengenai sambutan hari kemerdekaan negara.

Setiap detik dan ketika, Sudirman sentiasa menyatakan rasa bangganya terhadap Malaysia. Ketika mengadakan persembahan pada majlis pembukaan Sukan Sea di Kuala Lumpur, misalnya, Sudirman mengenakan pakaian bendera Malaysia.

Allahyarham Sudirman juga merupakan satu-satunya artis Melayu yang memecah tradisi apabila meletakkan nama Malaysia dalam peta seni dunia ketika meraih anugerah Penghibur No.1 Asia di kota London menewaskan nama-nama besar Asia yang lain seperti Anita Sarawak, Leslie Cheung dan Kuh Ledesma.

Bagaimanapun, usaha RTM yang istimewa untuk mengingati penyanyi itu melalui HMI Sudirman Dalam Kenangan Ahad lalu dicemari dengan persembahan yang tidak menepati sasarannya.

HMI Sudirman Dalam Kenangan itu bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

RTM seharusnya lebih selektif khususnya dalam pemilihan artis untuk menyampaikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh bintang itu yang telah banyak menyumbang bakti untuk kemajuan seni negara.

Sudah tiba masanya untuk RTM, terutama bahagian penerbitan hiburan, mengambil kira kepentingan ini.

Tidakkah kita berasa bersalah apabila menampilkan penyanyi seperti Nassier Wahab yang menimbulkan tanda tanya di kalangan penonton ketika dia menyanyikan lagu Milik Siapakah Gadis Ini.

Barangkali ramai yang tertanya-tanya sama ada Nassier terlupa lirik lagu atau sengaja menukar lirik lagu tersebut sehingga tidak jelas sebutannya.

Tempat Fazley juga seharusnya diberikan kepada penyanyi lelaki yang lebih senior daripadanya. Bukan untuk menafikan kemampuan penyanyi muda itu, tetapi persembahan Fazley menerusi lagu Pelangi Petang ternyata tidak bermaya.

Mungkin jika Annuar Zain diberikan tanggungjawab untuk menyempurnakan tugas itu, persembahan HMI Sudirman Dalam Kenangan pada malam itu akan menjadi lebih baik.

Dua penyanyi bukan Melayu iaitu Kelvin Lau yang menyampaikan lagu medley Apa Khabar Orang Kampung, Malam Ini dan Nilai Cintamu dan Datin Seri Manimala yang menyampaikan lagu Pujaan Hatiku menarik perhatian

penonton.

Manimala merupakan penyanyi keturunan India yang diperkenalkan oleh Sudirman buat pertama kali dalam programnya di televisyen RTM pada pertengahan tahun 80-an.

Rohana Jalil yang menyampaikan lagu Warisan ternyata masih lagi berbisa. Vokalnya memukau penonton.

Persembahan Fauziah Latiff (Jee) pula walaupun cukup bertenaga tetapi agak mengecewakan. Penghibur lincah itu mendendangkan lagu Hujan dan Di Dalam Sepi Itu dengan gaya dan cara tersendiri.

Paling menyerlah dan bijak menawan perhatian penonton dalam HMI Sudirman Dalam Kenangan sudah tentu Siti Nurhaliza, gadis yang juga dilahirkan di Temerloh, Pahang.

Siti diberi peluang menyampaikan tiga buah lagu iaitu Merisik Khabar, Terasing dan Salam Terakhir – ketiga-tiganya merupakan lagu-lagu cinta Sudirman yang paling popular.

Paling menyentuh hati apabila Siti satu-satunya artis yang sebak ketika menyampaikan lagu Salam Terakhir dan ini membuatkan penonton di Auditorium Perdana turut sama berkongsi kesedihan tersebut.

Siti menggunakan peluang program siaran langsung HMI di TV1 itu untuk memperkatakan kekagumannya terhadap Sudirman.

“Lagu-lagu Allahyarham Sudirman dekat dengan saya dan semasa saya dilahirkan, Sudirman masih ada. Saya meminati lagu-lagunya dan saya jadikan allahyarham sebagai idola saya,” kata Siti yang menjadi penyeri HMI Sudirman Dalam Kenangan.

Syafinaz pula muncul di akhir persembahan menyanyikan lagu yang telah menobatkan Sudirman sebagai Penghibur Terbaik Asia, One Thousand Million Smile.

http://www.utusan.com.my/