Special message from Siti Nurhaliza! di Tmnet.

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung laman ini. Siti sekali lagi mohon maaf kerana sudah agak lama tidak mencatat mesej terbaru buat tatapan anda semua. Semua ini bukan disengajakan tetapi Siti agak sibuk dengan pelbagai urusan sejak kebelakangan ini.

Siti mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para peminat yang setia memberi sokongan dan masih mempercayai Siti. Mungkin masih belum terlewat untuk Siti mengucapkan terima kasih kerana usaha anda membolehkan Siti memenangi dua kategori Anugerah Era 2003 yang diadakan di Genting Highlands pada 11 Oktober lalu.

Siti amat menghargai masa, pengorbanan dan tenaga yang akan keluarkan untuk merealisasikan setiap impian dan tentunya kejayaan Siti itu adalah kejayaan untuk anda semua.

Siti juga mengambil ruang waktu ini untuk melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada anda semua yang tidak jemu-jemu memberi sokongan terutamanya sewaktu separuh akhir Juara Lagu yang lalu. Siti senantiasa membaca mesej-mesej anda sebelum pertandingan dan begitu terharu dengan kesungguhan anda memberikan saranan, nasihat dan dorongan kerana itulah bekalan yang Siti bawa setiap kali muncul di pentas menyampaikan lagu yang Siti bawakan.

Alhamdulillah, satu lagu nyanyian Siti berjaya ke akhir dan ini juga kejayaan Zuriani sebagai pencipta lagu dan juga M.Zulkifli sebagai penulis lirik. Walaupun Badarsila tewas, Siti anggap ianya bukan rezeki Siti dan tidak pernah mematahkan semangat untuk terus memberikan sesuatu yang terbaik kepada industri.

Siti juga mengambil peluang di sini untuk mengucapkan selamat menyambut ketibaan Ramadhan kepada semua umat Islam dan moga bulan penuh hikmah ini akan memberi kebahagiaan dan kesejahteraan kepada kita semua.

Bulan puasa ini Siti akan mengurangkan aktiviti nyanyian Siti dan akan menumpukan kepada kerja-kerja belakang tabir termasuk menghadiri majlis-majlis berbuka puasa, Siti juga akan muncul dalam beberapa program TV untuk hari raya dan nantikan pengumumannya nanti.

Sekian dahulu catatan kita kali ini. Walaupun ringkas, Siti harap ianya dapat mengubat kerinduan. Salam mesra.

Salam mesra.

22nd October 2003