Special message from Siti Nurhaliza! di Tmnet.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pengunjung laman ini.

Terima kasih atas kunjungan anda yang tidak jemu-jemu dan semua catatan anda yang membina dan memberikan semangat untuk Siti meneruskan karier.

Sepanjang minggu lalu, Siti agak sibuk dengan penggambaran klip video untuk lagu terbaru Debaran Cinta dan klip video kali ini mendapat tajaan TM Net. Siti berasa gembira kerana ada banyak pengalaman yang Siti perolehi sepanjang menjalani penggambaran tersebut dan Siti dapat merasakan ada kelainan yang ditampilkan dalam video klip tersebut.

Barangkali ada di kalangan pengunjung yang sudahpun mengetahui penglibatan pengacara 3R dan juga pelakon popular dari Indonesia iaitu Nicholas Saputra atau lebih dikenali dengan watak Rangga dalam filem Ada Apa Dengan Cinta dalam klip video terbaru Siti ini.

Siti juga amat berterima kasih di atas penglibatan mereka ini iaitu Yuen, Tini dan Azah (3R) dan juga Nicholas yang banyak membantu menjayakan klip video Debaran Cinta. Klip video kali ini selain diadakan penggambarannya di studio, kami juga menjalani penggambarannya di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur. Kebanyakan scene dalam klip video ini memerlukan kami berlakon dan ada jalan cerita yang ditonjolkan. InsyaAllah jika tidak ada aral melintang, klip video ini akan dapat anda tonton pada bulan Julai nanti dan ianya juga akan dimuatkan dalam cd prepaid terbaru Siti nanti bersama sebuah lagi klip video iaitu Janji Kasih.
Sempena Karnival Sure Heboh yang akan diadakan di Bukit Jalil pada 27-29 Jun ini, Siti juga akan terlibat iaitu pada 29 Jun (Ahad) Siti akan muncul menemui pada jam 5 petang dan seterusnya menjayakan Konsert Sure Heboh pada sebelah malamnya pula.

Siti juga akan mengumumkan para pemenang yang akan berpeluang bercuti bersama Siti ke Gold Coast dan Sydney, Australia pada hari Ahad ini nanti. Mungkin anda merupakan salah seorang pemenangnya, jangan lupa nantikan pengumuman Siti nanti.

Sekian sahaja catatan Siti kali ini. Semoga kita bertemu lagi. Salam mesra selalu.

Siti semasa sesi wawancara video klip
‘Debaran Cinta’.

Nicholas Saputra ketika ditemuramah
oleh media.

Salah satu babak menarik dalam video klip.

Antara aksi menarik Siti dan Nicholas
dalam ‘Debaran Cinta’.

Salam mesra.

23 Jun 2003