SOSEHSOSEH: Vokal Siti Belum Dinobatkan

Peminat muzik tempatan rata-rata bercakap dan menantikan anugerah berprestij Juara Lagu ke-25 yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari depan, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bagi menyaksikan karya atau lagu ciptaan siapakah bakal diangkat sebagai yang terbaik untuk tahun ini.

Sementara penyanyi layak bertanding pula sedang sibuk membuat persiapan bagi memastikan persembahan mereka pada malam itu akan memukau penonton di dewan, mahupun di rumah sekali gus memastikan lagu ciptaan komposer terbabit akan dipilih juri sebagai yang terbaik.

Selain anugerah utama, turut menjadi perhatian penyanyi bertanding pada malam itu beberapa anugerah lain yang tidak kurang hebatnya dan turut menjadi perhatian peminat seperti Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.

Bercakap mengenai dua anugerah ini, SS berkesempatan membaca laman web khas mengenai sejarah Anugerah Juara Lagu. Melihat kepada senarai pemenang barulah SS sedar bahawa sepanjang sejarah ia diwujudkan, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza belum pernah lagi menggenggam trofi Vokal Terbaik sejak ia mula diperkenalkan pada 2002. Pada tahun itu ia dimenangi Liza Hanim menerusi Gelisah Mimpi dan diikuti Misha Omar yang memenangi anugerah sama untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2003 menerusi Bunga-bunga Cinta dan Pulangkan pada 2004.

Hazami memenangi anugerah Vokal Terbaik pada 2005 menerusi Kata dan Adibah Noor pula dengan lagu Terlalu Istimewa pada tahun berikutnya. Pertama kali pasangan duet iaitu Jaclyn Victor dan Lah Ahmad memenangi kategori Vokal Terbaik pada 2007 menerusi Ceritera Cinta dan Faizal Tahir memenanginya menerusi Sampai Syurga pada 2008. Tahun lalu pendatang baru Black diumumkan pemenang menerusi Aku Rindu Sayang Kamu.

Siti Nurhaliza pula sudah mengungguli anugerah Juara Lagu menerusi pelbagai kategori, termasuklah anugerah utama dan beberapa kali merangkul anugerah persembahan terbaik iaitu pada 1996 dan 1997 dan selepas itu memenangi anugerah itu kembali tiga tahun berturut-turut bermula 2001 hingga 2003.

Melihat kepada sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu, rasa seperti kurang lengkap sekiranya Siti tidak memenangi Anugerah Juara Lagu kategori Vokal Terbaik. Siti mempunyai kekuatan dari sudut vokal dan kelebihan itu juga yang mengangkat namanya dalam industri muzik tempatan. Jadi apabila Siti tidak memenangi anugerah membabitkan vokal di anugerah prestij seperti Juara Lagu sudah tentu ia seperti ada yang kurang atau ‘lompong’.

Nampaknya Siti tidak boleh lagi berundur dari dunia seni selagi dia belum memenangi kategori Vokal Terbaik di Juara Lagu yang memang menjadi perhatian umum saban tahun. Selepas menang kategori vokal itu, barulah Siti boleh tidur lena. kalau dia mengambil keputusan untuk berehat panjang pun, peminat mahupun Siti sendiri sudah berasa puas.

Harian Metro