Soseh-Soseh: Peminat Siti lebih sudu dari kuah

BARU-BARU ini rakan SS membuat liputan persembahan Datuk Siti Nurhaliza. Ramailah juga orang walaupun harga tiket agak mahal. Selesai saja persembahan, rakan SS pergi ke belakang pentas untuk mendapatkan kenyataan daripada Siti.

Ramai juga peminat Siti turut menanti di situ untuk bergambar bersamanya tapi kata rakan SS, dia hanya mahu bertemu Siti sekejap saja untuk mendapatkan cerita terbaru darinya. Maklumlah, cerita mengenai Siti yang dikatakan berbadan dua terus hangat diperkatakan peminat.

Rakan SS tidak mahulah terlepas berita penting itu daripada mulut penyanyi yang kini popular dengan lagu Pastikan itu. Itulah juga perkara sering ditanya peminat kepada SS dan rakan lain.

Tapi apa yang SS ingin paparkan di sini ialah kata-kata ugutan daripada peminat fanatik Siti ketika rakan SS sedang sibuk menemu bual Siti.

Kata peminat itu, “Awas ya, jangan tulis yang bukan-bukan nanti kami bakar suratkhabar awak.” Kata-kata itu hanya didengar seorang rakan SS yang berada dekat dengan peminat itu. Tersentak rakan SS sekejap tapi buat tidak kisah kerana sibuk dengan kerjanya.

Kata rakan SS, ia juga didengar Siti hingga membuatkan wajahnya sedikit berubah. Mungkin Siti malu dengan rakan wartawan kerana peminat itu pandai-pandai jadi jurucakap bagi pihaknya.

Kata rakan SS, dia sempat memberi jelingan tajam kepada peminat itu sedangkan Siti tenang saja berhadapan dengan wartawan.

Sebaik saja selesai tugasnya, kata rakan SS, dia pun tanpa berlengah memperli peminat itu dengan suara yang agak lantang tapi dari jauh saja.

SS hanya mampu tersenyum mendengar cerita rakan SS. Kalau peminat nak bakar suratkhabar SS kerana menyiarkan cerita panas mengenai Siti, silakanlah. Kalau nak bakar tu, tentu kena beli dulu suratkhabar SSkan. Jadi, suratkhabar SS tak rugi apa-apa pun.

Nasihat SS, cubalah berfikiran terbuka dan biarkan wartawan buat kerjanya. Paling penting, akhbar SS tidak mampu memuaskan hati semua orang tapi terpulang kepada penerimaan masing-masing.

Apabila akhbar SS paparkan cerita panas mengenai artis, dituduh memburukkan artis kesayangan mereka tapi bila tidak dipaparkan, dituduh pula sudah kena beli kerana tidak sanggup mendedahkan keburukan artis. Serba tak kena nampaknya.