Soseh-Soseh: Liza Hanim jadi Saloma?

Rap
Minggu lalu Harian Metro ada menyiarkan berita mengenai barisan artis yang ditawarkan Enfiniti Production Sdn Bhd untuk membintangi teater muzikal My Name Is Remy.

Antara nama artis yang disebut termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Camelia sementara watak P Ramlee disebut-sebut bakal menjadi milik Sean Ghazi. Bagaimanapun, tiada pengesahan dibuat pihak Enfiniti Production memandangkan kontrak belum ditandatangani artis yang disebutkan namanya itu.
Terbaru SS mendapat khabar artis dipilih membintangi drama yang dianggarkan menelan belanja lebih RM1 juta itu berubah lagi.
Menurut sumber terdekat Enfiniti Production, watak Allahyarham Puan Sri Saloma sebenarnya bukan milik Siti Nuhaliza sebagaimana digembar-gemburkan, sebaliknya diberikan kepada penyanyi berbakat besar, Liza Hanim. Camelia pula dikatakan tidak terbabit langsung dalam teater itu.
Pemilihan Liza Hanim dibuat berdasarkan suaranya yang dikatakan ada mirip Saloma dan sebelum ini pun penyanyi itu pernah menghasilkan album menghimpunkan lagu yang pernah dipopularkan Biduanita Negara itu.
Bagi mendapatkan pengesahannya, rakan sekerja SS cuba juga menghubungi artis yang disebutkan termasuklah Siti dan Ning, tetapi kedua-duanya tutup mulut dan enggan mengulas panjang.

Nampaknya makin hari makin mendebarkan menanti barisan pelakon teater ini. SS harap Datin Sri Tiara Jacquelina cepat-cepat umumkan senarai nama mereka yang dipilih untuk pementasannya yang bermula 18 Oktober nanti untuk menutup segala spekulasi ini.
Sebelum ini kecoh dengan kisah M Nasir mencari Saliha untuk berlakon dengan Mawi dalam filem Aduh saliha tetapi selepas timbul macam-macam spekulasi, akhirnya M Nasir menerusi Saliha dan nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin diumumkan baru-baru ini.
Dalam sehari dua lagi mungkin siapa yang jadi Saloma dan P Ramlee dalam teater My Name Is Remy akan terjawab pula.