Sokongan dihargai…

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan bahagia hendaknya. Doa Siti agar anda dapat menjalani kehidupan dan kerjaya dengan tenang dan mendapat kejayaan selalu.

Alhamdulillah, RTM sudahpun menyiarkan konsert penghargaan Siti buat Tan Sri Dr.P.Ramlee dan Puan Sri Saloma beberapa hari lalu, namun mungkin gambaran sebenar konsert tersebut tidak secara keseluruhannya. Sebagai konsert yang dirakamkan secara langsung, Siti akur bahawa ada beberapa perkara yang harus disunting dan diperbaikkan jika mahu mengeluarkannya dalam bentuk kaset, cd atau vcd. InsyaAllah, SNP (M) Sdn. Bhd. memang berusaha ke arah itu dan kami masih lagi dalam proses menyiapkannya kerana untuk menerbitkan album yang mengandungi lagu-lagu nyanyian atau hakcipta orang atau pihak lain, banyak perkara dari segi undang-undang yang pihak Siti perlu selesaikan. InsyaAllah jika tidak ada aral melintang Julai nanti album ini akan dipasarkan dan Siti harap agar anda semua dapat mendoakannya.

Siti juga berterima kasih di atas kesungguhan anda memastikan undian Siti dalam carta lagu dan anugerah diteruskan dengan semangat yang Siti dapat lihat melalui mesej-mesej anda, dan tentunya ia membuatkan Siti berasa terharu. Siti tidak menyangka masih memiliki peminat-peminat yang begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menyokong kerjaya Siti meskipun kini sudah 12 tahun Siti dalam industri, ditambah dengan status Siti yang sudah berkahwin. Sokongan ini memang membuatkan Siti berasa amat terharu apatah lagi dalam setiap persembahan Siti, masih terlihat wajah-wajah peminat yang sentiasa meluangkan masa. Inilah yang memberikan Siti semangat untuk lebih bekerja keras walaupun situasi kerja Siti sudah agak berbeza kerana terpaksa membahagikan karier dan rumahtangga, namun InsyaAllah, segalanya akan dapat diatur dengan baik.

Sekarang ini Siti terlibat dengan kempen Gegar U di mana Siti juga menyanyikan lagu temanya. Promo tentang kempen ini juga disiarkan di Astro, semoga apa yang Siti lakukan ini akan memberikan sesuatu yang berguna kepada masyarakat. Apatah lagi di luar sana ramai peminat Siti yang masih belajar di IPT dan tentunya menjadi inspirasi kepada peminat yang masih bersekolah untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi Siti, ilmu itu amat penting, tidak kiralah ilmu atau kemahiran apa yang kita miliki, jika digilap InsyaAllah akan membuahkan hasil yang baik.

Mengenai album tradisional Siti pula, bukan Siti sengaja melambat-lambatkan prosesnya tetapi Siti harus memberi laluan kepada album konsert P.Ramlee dan Saloma terlebih dahulu. Sementara Siti juga masih menantikan lagu-lagu bermutu daripada pencipta lagu. Biasanya agak sukar mendapatkan pilihan lagu yang banyak dari genre tradisional tetapi Siti masih lagi sabar menanti kerana mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dalam album kali ini. Siti harap anda semua memahami.

InsyaAllah, bertemu peminat Singapura di Anugerah Planet Muzik 8 Jun nanti. Siti juga tidak sabar untuk ke sana memandangkan sudah agak lama tidak bertemu peminat yang menantikan kehadiran Siti. InsyaAllah Siti akan membuat persembahan malam itu bersama Gita dan Taufik, nantikan persembahan kami.

Salam mesra selalu…
Siti Nurhaliza