Siti, Ziana duet

GANDINGAN penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dengan Ziana Zain mungkin dilihat agak janggal kerana nada vokal mereka yang berbeza. Namun itulah yang mahu ditampilkan pada majlis Hari Bapa Bersama Datuk Siti Nurhaliza sempena ulang tahun ke-33 Lord’s Tailor pada 6 Jun ini.

Selain dihiburkan dengan alunan merdu Siti, gandingannya dengan Ziana menjadi acara kemuncak bagi majlis yang akan berlangsung di Banquet Hall, Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur jam 3 petang itu.

Ia turut menyaksikan Siti dan Ziana tampil dengan sut khas yang direka Lord’s Tailor. Jika selama ini Siti dan Ziana anggun dengan gaun labuh bersama kilauan hiasan aksesori, kali ini mereka tampil berbeza dengan Power Suit.

Pegawai Publisiti Lord’s Tailor, Bill Bora, berkata gandingan Siti dan Ziana satu kelainan yang cuba ditampilkannya untuk majlis terbaru yang dikendalikannya kali ini.

“Saya yakin ia bakal menjadi gandingan yang mengejutkan ramai pihak. Selama ini Siti dikenali sebagai penyanyi yang mempunyai vokal merdu dengan gaya menyanyi bersahaja manakala Ziana dengan lagu nada tinggi. Tapi bagaimana agaknya apabila kedua-duanya digandingkan?

“Ramai yang sangsi dengan gandingan ini tetapi saya yakin ia sesuatu yang istimewa. Ziana menjadi penyanyi popular pada awal 90-an kemudian tempatnya digantikan Siti apabila mula mencuri tumpuan pada 1996.

“Mereka akan menyanyikan lagu popular Ziana tetapi belum pasti lagu apa. Apapun, mereka berdua sudah memberi persetujuan atas cadangan gabungan ini,” katanya.

Menurut Bill Bora, suami Siti, Datuk Khalid Mohd Jiwa akan tampil dengan tuksedo rekaan Lord’s Tailor begitu juga suami Ziana, Armin Zaharin. Untuk lebih memeriahkan majlis, Bill turut menggabungkan 15 lelaki kacak dan popular bergaya dengan tuksedo pelbagai gaya dan warna.