Siti Tidak Tolak Zuriat Tabung Uji

ImageShack
SITI NURHALIZA

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datin Seri Siti Nurhaliza yang kerap ditanya mengenai zuriat, tidak pernah berasa tertekan untuk segera menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, jika diberi pilihan, Siti, 29, tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF) berbanding mengambil anak angkat.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun menegaskan beliau belum terdesak melakukan kaedah tabung uji buat masa ini.

Tambah Siti yang menikahi usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49, pada 21 Ogos 2006, beliau juga gembira berkongsi kasih dengan empat anak tirinya hasil perkongsian hidup suaminya dahulu iaitu Mohamed Anas Zawawi, 21, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamaed Aazief, 10.