Siti Tidak Terkilan

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

SITI bersama Beg Guna Semula, Tabung Yayasan Jusco yang dilancarkannya di Pusat Membeli-Belah AEON Bukit Tinggi, Klang baru-baru ini.

BIDUANITA ini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebut sahaja namanya, seluruh pelosok negara tidak kira tua ataupun muda pasti mengenalinya.

Sentiasa sopan dalam pemakaian dan menjaga tertib hujahnya, itulah antara aset utama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin atau lebih mesra disapa Siti yang menyebabkan jutaan peminat sentiasa menyayangi dan menyenangi dirinya walau pernah dihambat pelbagai fitnah dan tohmahan liar.

Rezeki penyanyi nombor satu negara ini sentiasa mencurah sejak awal kemunculannya lagi. Tidak hanya terbatas di lapangan nyanyian tetapi juga turut terhampar luas sebagai duta dan jurucakap pelbagai produk.

Sejak zaman bujangnya lagi Siti telah terpilih sebagai duta dan jurucakap pelbagai produk kecantikan antaranya ialah produk Maybelline New York, Pantene dan Olay Total Effect.

Tidak cukup dengan itu, kerjasama Siti turut diberikan kepada badan-badan amal dan juga yang berkaitan aktiviti kemasyarakatan antaranya sebagai duta Pencegahan Dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada tahun 2006, duta Muhibah PBSM dan duta Tabung Yayasan Jusco, With All Our Heart sejak tahun 2002 lagi.

Bagaimanapun, sejak mendirikan rumah tangga bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, tawaran sebagai duta sedikit berkurangan berbanding zaman solonya dahulu.

Mungkinkah kerana imej bertudung yang dibawa oleh Siti kini menyebabkan ramai pihak kurang berminat mengambilnya?

Atau apakah kerana status Siti sebagai isteri dan seorang hartawan menyebabkan ada pihak yang berasa ragu-ragu memberikan tawaran.

“Semuanya bergantung kepada rezeki. Jika imej Siti tidak sesuai dengan sesuatu produk, itu tidak jadi masalah kerana setiap syarikat ada perancangan mereka sendiri. Imej ini adalah sesuatu yang Siti pilih dan tidak pernah terfikir untuk terkilan jika tidak mendapat tawaran lagi.

“Mereka tidak meletakkan apa-apa syarat tentang status Siti sekarang dan mereka menerima Siti dengan baik. Bagi Siti, sebagai anggota masyarakat tidak kira apa status kita tetapi yang lebih utama adalah apakah sumbangan yang mampu kita berikan,” luah Siti memberi pandangannya.

Bercerita mengenai penglibatannya sebagai duta sebelum dan selepas berkahwin, kata Siti, dia harus memilih tawaran yang diberi berdasarkan komitmen yang dapat dilakukannya.

“Siti tidak boleh mengambil sesuatu tawaran tanpa memikirkan apakah Siti dapat memberi komitmen seperti mana yang dikehendaki oleh syarikat yang menawarkan. Siti juga harus memilih produk yang benar-benar sesuai dengan Siti kerana bukan wang yang Siti cari tapi apakah kita dapat menjalankan tanggungjawab itu atau tidak.

“Insya-Allah sekarang ini semuanya berjalan dengan baik, cuma Siti harus memikir sebaiknya sebelum meneruskan kontrak atau pun menerimanya,” kata penyanyi yang kini cukup popular dengan lagu Wanita itu.

Duta Jusco

Baru-baru ini, Siti hadir melancarkan Beg Guna Semula, Tabung Yayasan Jusco Malaysia di Pusat Membeli-Belah AEON Bukit Tinggi, Klang.

Beg yang terhad sebanyak 10,000 unit itu boleh dibeli di semua cawangan Jusco dengan harga RM4.90 setiap satu bermula 25 Ogos ini.

“Wang hasil pembelian beg tersebut akan disalurkan kepada Tabung Yayasan Jusco. Ini adalah satu perkara yang baik kerana ia dapat membantu mengurangkan penggunaan beg plastik dan dalam masa yang sama dapat membantu melindungi bumi,” kata duta kepada tabung yayasan itu lagi.

Siti mula bekerjasama dengan pihak Jusco sejak tahun 2002 dan sejak itu dia diberi kepercayaan sebagai Duta Tabung Yayasan Jusco (With All Our Heart).

“Kerjasama Siti dengan Jusco dan Aeon biasanya menerusi kontrak yang dibuat secara tahunan dan jika diperbaharui atau kontrak disambung, Siti akan meneruskan kontrak untuk setahun lagi.

“Insya-Allah kontrak tahun lalu akan tamat tidak lama lagi tapi pihak mereka sedang berbincang dengan pihak Siti untuk meneruskan lagi kerjasama ini. Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun, penggunaan gambar-gambar lama Siti dengan imej tidak bertudung pada majlis pelancaran Beg Guna Semula, Tabung Yayasan Jusco baru-baru ini sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya dari pelbagai pihak.

Gambar tersebut bukan sahaja tercetak pada poster dan risalah tabung yayasan tersebut malah turut digunakan pada beg guna semula yayasan itu.

“Gambar itu memang diambil sebelum Siti bertudung dan mereka juga ada memohon persetujuan Siti.

“Keadaan berlaku kerana terlalu banyak imej Siti yang tidak bertudung terutamanya pada album-album Siti dan di majalah juga sebelum ini, memang sukar untuk menukarkannya kepada yang baru tetapi insya-Allah selepas ini semuanya akan berubah.

“Ada iklan yang Siti buat sebelum Siti bertudung dan kontrak masih belum habis dengan mereka. Jika ada kontrak baru, Siti akan tampil dengan imej terbaru ini.

“Tindakan Jusco juga adalah atas persetujuan Siti dan kempen menggunakan beg itu hanya untuk tempoh sebulan sahaja,” jelas Siti.

Utusan Malaysia