Siti tidak cerewet soal makan.

Tip Personaliti
BUKAN mudah menjadi orang terkenal yang sentiasa menjadi buruan masyarakat. Setiap masa dan ketika, individu itu harus tampil menarik dan menawan.

Keterampilan yang harus diberi tumpuan oleh mereka yang popular juga bukan hanya terhad kepada penampilan luaran, sebaliknya, kesihatan dalaman juga harus diambil kira.

Perkara ini diakui oleh artis wanita popular tanah air, Siti Nurhaliza.

Menurut Siti Nurhaliza, selain memberi tumpuan kepada kecantikan luaran, beliau juga tidak pernah mengabaikan kesihatan dalamannya.

Sebagai orang yang sibuk, Siti Nurhaliza sentiasa memastikan setiap hari akan makan makanan yang berzat, mendapatkan tidur yang secukupnya serta mengambil makanan tambahan untuk menambahkan stamina.

Berkongsi tip personaliti dengan wartawan SAHARUDIN MUSTHAFA, penghibur yang kini begitu popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa itu turut mendedahkan cara yang sering beliau lakukan ketika menghadapi tekanan kerjaya dan peribadinya.

KESIBUKAN memenuhi undangan menyanyi sudah pasti menyebabkan jadual harian Siti berbeza dengan orang lain, bagaimana Siti menangani masalah ini?

SITI NURHALIZA: Dalam menangani masalah ini, Siti bersyukur kerana banyak mendapat bantuan daripada abang dan kakak ipar Siti yang menguruskan kerjaya seni Siti.

Pada masa yang sama, syarikat pengurusan Siti iaitu Siti Nurhaliza Production juga banyak memainkan peranan dalam memastikan jadual harian Siti berjalan lancar.

Siti akui, masa Siti begitu terbatas sekali kerana kesibukan memenuhi undangan menyanyi, mengadakan temu janji dengan pihak media, berurusan dengan pihak penaja dan lain-lain.

Apakah setiap hari Siti sibuk dengan kegiatan seni?

Ini terpulang kepada keadaan. Ada kalanya, dalam masa seminggu jadual Siti penuh setiap hari.

Minggu berikutnya pula, mungkin Siti ada kelapangan masa untuk sehari dua dan keadaan yang sama akan berlaku dari semasa ke semasa.

Kalau Siti tidak sibuk dengan kerjaya seni, Siti lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Itulah masa terbaik untuk Siti melayan perasaan selepas penat bekerja.

Apakah kesibukan kerja mempengaruhi berat badan Siti?

Kalau Siti begitu sibuk dengan kerja, berat badan Siti mudah turun. Biasanya berat badan Siti akan turun dua kilogram.

Sebagai artis terkenal, sudah pasti Siti tidak terlepas daripada menghadapi tekanan kerjaya seni dan peribadi, bagaimana Siti menghadapinya?

Siti mempunyai pendekatan yang tersendiri dalam mengatasi masalah ini dan Siti percaya pendekatan ini tidak sama dengan pendekatan orang lain.

Kalau Siti berhadapan dengan tekanan kerja atau peribadi, lazimnya Siti akan keluar membeli-belah.

Ketika itu, Siti dapat rasakan fikiran Siti benar-benar bebas daripada sebarang masalah dan Siti boleh habiskan masa berjam-jam di pusat membeli-belah dan tumpuan Siti sudah pasti di kaunter yang menjual alat-alat solek.

Satu cara lagi ialah Siti gemar ke tempat-tempat yang tinggi dan di situ Siti berpeluang melihat panorama khususnya melihat pemandangan Kuala Lumpur.

Tidak kira di mana sahaja tempat yang kedudukannya tinggi dari aras laut, Siti gemar untuk ke sana dan biasanya Siti ke sana bersama kakak dan abang ipar serta anak-anak saudara.

Melihat keindahan Kuala Lumpur atau panorama yang lain benar-benar membuatkan fikiran Siti tenang dan terasa otak ini bebas daripada sebarang masalah.

Bagaimana pula mengekalkan kesihatan dalaman?

Selain memberi tumpuan kepada soal pemakanan harian, Siti juga mengamalkan pengambilan makanan tambahan iaitu vitamin.

Siti mengamalkan spirulina untuk menambahkan stamina, vitamin E pula untuk menjaga kulit sementara vitamin C pula untuk mengelakkan Siti daripada dijangkiti selesema. Siti terlalu mudah dan kerap dijangkiti selesema.

Demikian juga dengan vitamin bawang putih. Siti mengambil vitamin selepas dinasihati oleh pakar kerana katanya ia baik untuk perut Siti yang selalu kosong kerana tidak berkesempatan untuk makan.

Siti pernah mengamalkan pengambilan jamu?

Dulu pernah juga mencuba sekali dua tetapi Siti tidak tahan kerana jamu memanaskan badan dan Siti mengelak untuk mengambilnya lagi.

Apa pemakanan yang alah bagi Siti?

Minuman berais atau yang sejuk. Jika Siti minum ais tekak Siti akan membengkak dan kemerahan sehingga Siti tidak boleh menyanyi.

Maksudnya, sudah lama Siti tidak minum ais?

Air minuman Siti ialah air suam atau air mineral. Siti juga gemarkan Milo panas. Siti pernah mencuba minum ais tetapi ia menyakitkan, jadi lebih baik tidak mengambilnya lagi.

Lagipun, kini ia sudah menjadi kebiasaan dan Siti tidak menyesal kalau tidak minum ais lagi.

Mungkin Siti boleh berkongsi dengan pembaca pemakanan yang diamalkan oleh Siti pula?

Syukur Siti bukan seorang yang cerewet dalam soal pemakanan. Siti gemarkan makanan yang pedas.

Jika hidangan tengah hari atau makan malam misalnya, Siti akan berselera sekali menikmati kari ikan dengan sayur buncis dimasak kicap.

Siti juga gemarkan masakan sambal ikan dan dihidangkan bersama sayur kubis masak air.

Untuk makan pagi pula, Siti biasanya mengambil yang ringan-ringan sahaja sama ada roti bakar atau mihun goreng.

Lazimnya, seseorang penyanyi itu tidak akan makan sebelum mengadakan persembahan, bagaimana pula dengan Siti?

Siti juga sebenarnya seperti mereka tetapi tidaklah sampai membiarkan perut kosong kerana kalau perut kosong pun susah kerana tidak ada stamina.

Apa yang Siti lakukan ialah, sekadar makan sekeping dua roti untuk mengalas perut. Sebaik habis mengadakan persembahan, Siti akan mengambil makanan yang lebih berat.

Kesibukan juga sudah pasti membuatkan rutin tidur Siti berbeza daripada orang lain. Berapa jam yang Siti perlukan untuk mendapatkan tidur yang selesa?

Memadai enam hingga tujuh jam. Paling lewat biasanya pukul tiga pagi Siti sudah masuk bilik tidur dan paling awal pula pukul 12 tengah malam.

Waktu tidur malam Siti terpulang kepada pukul berapa Siti habis menyanyi di waktu malam.

Andai tidak mendapat tidur yang secukupnya, apakah kesan paling ketara yang dapat dilihat pada diri Siti?

Paling ketara sekali sudah tentu, Siti akan sentiasa kelihatan penat dan tidak bermaya.

Kesan kedua ialah kepala Siti akan berpinar-pinar dan kesan ketiga pula muka Siti akan kelihatan sembap.