Siti Tetap Menyokong PRTM

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Pengalaman sebagai Azizah memberi kenangan manis kepada penyanyi nombor satu negara

KEJAYAAN pementasan muzikal, P Ramlee The Musical… The Life, The Loves & The Inspiration (PRTM) menyeberang Singapura, selain kembali dipentaskan untuk musim kedua di Istana Budaya memberi impak membanggakan kepada penggiat teater tempatan.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pernah berkongsi detik bersejarah itu apabila turut membintangi pementasan pertama arahan Adlin Aman Ramlie ketika dipentaskan di Istana Budaya, Oktober tahun lalu.

Malangnya, apabila teater yang dijayakan nama popular serta meraih enam trofi pada malam Anugerah Boh Cameronian 2007, pada 11 Mei lalu kembali dipentaskan, Siti yang memainkan peranan Azizah tidak dapat bersama.

Ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, baru-baru ini, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu berkata, ada beberapa sebab menyebabkan dia tidak dapat serta pada pementasan musim kedua yang akan bermula 28 Mei.

“Satu daripadanya adalah komitmen waktu. Masa terlalu suntuk menyebabkan Siti mengambil keputusan untuk tidak bersama pada pementasan kedua. Pada masa sama Siti sendiri sedang dalam persiapan untuk menyiapkan rakaman album tradisional. Itu saja sudah menuntut masa yang banyak selain memerlukan fokus yang lebih.

“Cukuplah sekali dulu mencuba kerana pada masa ini, Siti juga ingin memberikan tumpuan kepada rumah tangga,” katanya.

Isteri kepada usahawan terkemuka, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini berkata, langsung tidak terlintas perasaan terkilan apabila watak yang pernah dijayakannya itu diserahkan kepada orang lain.

Bagi Siti, tidak salah watak itu dibawakan pelakon lain kerana kemunculan penggantinya itu akan turut memberi kepelbagaian kepada pementasan PRTM. Tidak menafikan seronok kerana berpeluang terbabit dalam produksi hebat itu, namun kata Siti, dia perlu akur dengan kemampuan diri.

“Fokus Siti ketika ini terlalu banyak, jadi apabila difikirkan semula adalah lebih baik Siti menarik diri. Apa yang penting hasrat Siti untuk mencuba dunia lakonan sudah tercapai. Biarpun tidak berlakon kembali, Siti tetap akan memberikan sokongan. Siti mahu pergi menonton PRTM musim kedua,” katanya.

Pohon Siti, jangan membandingkan Azizah yang dilakonkannya dengan persembahan Emelda Rosmila yang dipilih menggantikannya untuk peranan itu.

Baginya, setiap mereka mempunyai kemampuan berbeza dan Siti percaya dengan pengalaman besar Emelda sebagai pelakon drama, dia mampu memberikan kejutan dalam pementasan itu.

“Siti percaya walaupun Emelda nama baru dalam dunia lakonan pentas tetapi dia juga mempunyai kelebihannya tersendiri. Jangan bandingkan dia dengan Siti kerana antara kami berdua tiada persamaan. Cuma kebetulan Siti dan Emelda memainkan peranan yang sama sebagai Azizah, wanita yang menjadi inspirasi dalam hidup Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Di luar bidang kuasa

KEMUNCULAN album kompilasi 2 Diva yang menyatukan Siti dengan penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti turut menarik perhatian peminat seni, khususnya media.

Malangnya seakan terselit sedikit kekecewaan apabila album yang diterbitkan bersama Warner Music dan SRC itu tidak menyelitkan lagu baru paduan suara mereka berdua sebagai bonus kepada pendengar.

Ditanya mengenainya, penyanyi Biarlah Rahsia ini berkata, apa yang berlaku adalah di luar bidang kuasanya.

Malah kata Siti, dia tidak tahu apa-apa mengenai penerbitan kompilasi itu dan hanya menyedari apabila membacanya di akhbar.

“Mungkin disebabkan sudah terlalu banyak album kompilasi nyanyian Siti diterbitkan membuatkan peminat mahukan sesuatu yang baru dan berbeza. Tetapi, maaf kerana Siti tidak terbabit langsung dalam penerbitan ini. Ia adalah hasil persefahaman antara syarikat rakaman.

“Siti sendiri mempunyai banyak lagi popular terutama dalam album Transkripsi tetapi tidak dimuatkan dalam kompilasi itu,” katanya.

Meskipun tertanam niat di hati untuk merakamkan sebuah lagu kenangan bersama diva Indonesia itu, namun kata Siti, impian suci itu belum terlaksana lantaran kesibukan mereka bersama.

Powered by Berita Harian