Siti tetap laris

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Sibuk sepanjang April

3003ct2.jpg
STATUS sebagai isteri bukan halangan buat penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, terus aktif dalam bidang seni seperti ketika zaman anak dara dulu.

3003ct1.jpg
SOKONGAN..Siti dan Apek
bersama penaja yang menjayakan Minggu Setiausaha di
Hotel Palace Of The Golden Horses.

Malah, seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, agenda seninya cukup padat sepanjang April nanti.

Namun, bagi Siti, sesibuk mana sekalipun, tidak lengkap agenda seninya jika tidak menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha yang diraikan saban tahun.

Tahun ini, Siti berkata, buat julung kalinya juga dia menjayakan persembahan Minggu Setiausaha secara eksklusif di Le Marquee, Hotel Palace Of The Golden Horses yang akan berlangsung pada 24 April ini.

“Saya sudah lama teringin menjayakan Minggu Setiausaha pada waktu malam dan nampaknya impian saya itu terlaksana tahun ini.

“Saya gembira kerana persembahan kali ini berbeza dan bukan pada waktu makan tengah hari seperti pernah dijayakan sebelum ini.

“Bila buat persembahan pada waktu malam, kita lebih kreatif dan boleh buat macam-macam benda yang unik.

“Saya memilih Le Marquee kerana kapasitinya lebih besar dan mampu menampung lebih seribu orang dalam satu masa. Apatah lagi, persembahan ini hanya untuk satu malam saja,” katanya ketika sidang media di Hotel Palace Of The Golden Horses di sini, baru-baru ini.

Siti berkata, Hotel Palace Of The Golden Horses bukan asing dengannya kerana sudah banyak kali dia buat persembahan di hotel berkenaan sebelum ini.

“Antaranya, program bersama Olay dan persembahan An Evening With Siti Nurhaliza pada 2005.

“Sebelum ini, saya buat persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Quality dan baru kali ini saya berpeluang buat di sini,” katanya.

Siti berkata, dia juga menjanjikan kelainan pada persembahannya nanti.

“Saya banyak buat persembahan sepanjang April ini. Sebelum Minggu Setiausaha, saya bakal jayakan Konsert Istana Cinta- Tribute to Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma di Panggung Sari dari 20 hingga 21 April.

“Justeru, saya pastikan setiap persembahan berbeza kerana bimbang peminat keliru. Apa yang penting, corak persembahan saya dan pelawak Saiful Apek (Apek) nanti benar-benar menghiburkan tetamu,” katanya.

3003ct3.jpg
BERGABUNG..Siti dan Apek jayakan Minggu Setiausaha di Hotel Palace Of The Golden Horses pada 24 April ini.

Tambah Siti lagi, dia dan pihak hotel sepakat memilih konsep bertemakan warna hijau sekalipun hijau bukanlah warna kegemarannya.

“Suasana persembahan nanti memang cukup berbeza kerana sebelum ini saya buat persembahan di ballroom hotel,” katanya.

Mengenai gandingannya dengan Apek, Siti berkata dia sering menjayakan persembahan sempena Minggu Setiausaha bersama pelawak popular itu sebelum ini.

“Selalunya Apek buat lawak secara spontan saja.

“Saya suka bekerjasama dengan Apek kerana dia tidak pernah ‘demand’ dan banyak membantu saya dalam persembahan kami sebelum ini.

“Saya dan Apek belum berbincang secara terperinci mengenai corak persembahan kami nanti. Apa yang pasti kami akan berduet dalam satu segmen nanti.

“Saya mesti minta Apek menyanyi kerana seperti yang kita tahu dia memang boleh menyanyi,” katanya.

Siti berkata, persembahannya nanti mungkin mengambil masa 45 minit.

“Jika acara makan malam, suasana selalunya lebih santai dan rileks. Lagu yang saya dendangkan juga seperti persembahan ala ‘broadway’. Pengarah muzik pada malam itu adalah Aubrey Suwito.

“Jika saya menyampaikan lagu lama sekalipun Aubrey akan buat gubahan baru untuk saya,” katanya.

Siti berkata, dia juga merancang mengadakan majlis seperti ‘malam gala’ dan ‘happening’ buat tetamu pada malam itu.

“Sekalipun repertoire lagu belum diputuskan, sudah pasti saya persembahkan lagu popular saya dan lagu yang menepati citarasa golongan korporat kerana tetamu yang datang untuk Minggu Setiausaha berbeza dari acara biasa.

“Apa yang saya harapkan persembahan ini akan meninggalkan kenangan terindah kepada setiausaha. Insya-Allah, saya dan Apek beri persembahan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Siti juga sibuk dengan pembikinan album etnik kontemporari Melayu dan persiapan persembahan sempena acara kemuncak Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-13 (AIM13) yang bakal berlangsung pada 28 April.

Sementara itu, selain persembahan hebat Siti dan Apek, setiausaha juga berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen terkini kebaya Indonesia dan gaun petang oleh butik Cosry.

Harga tiket untuk menyaksikan persembahan ini ialah RM250++, RM350++ dan RM500++ setiap seorang. Mereka yang buat tempahan awal sebelum 6 April akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.