Siti terus dilamun cinta

MEMANG penyanyi jelita Siti Nurhaliza sedang asyik bercinta.

Kalau tidak masakan beliau mengakui ‘kasih sayang daripada suami hadiah paling berharga’ buatnya – hadiah hari lahirnya yang ke-28 kelmarin.

Majlis hari lahir Siti diraikan pada Rabu malam lalu di Restoran Gaucho, Chulan Square, Kuala Lumpur dengan kehadiran 150 tetamu yang terdiri daripada keluarga, teman rapat dan wartawan.

‘Syukur Alhamdulillah. Siti bahagia dengan kehidupan sekarang. Ini juga kali pertama Siti sambut hari lahir sebagai isteri. Majlis ini sebenarnya dibuat suami Siti,’ katanya.

Sesekali, aksi romantis Siti dan suaminya, Datuk K, jelas kelihatan apabila mereka berpimpinan tangan sambil melayan tetamu yang hadir.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan sambutan itu ialah penyanyi Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Syafinaz, Nora dan suaminya, Johan Nawawi, Ezlynn, Aznil Nawawi, Nurul, Linda Rafar dan Syed Aiman, Juliza Adlizan, Sharifah Shahira, Ijoy, Sharifah Norhaslinda dan suaminya, Datuk Reezal Merican, Kat serta Fara Fauzana.

Sementara menantikan detik 12 malam, majlis yang dihoskan pelawak Dee telah diserikan dengan persembahan Syed Sobri dan isteri, Azie, yang menden dangkan beberapa lagu antaranya I Finally Found Someone, Mencintaimu, Nyanyian Asmara dan Aku Makin Cinta.

Acara memotong kek telah diawalkan kira-kira setengah jam untuk mengelakkan majlis berakhir begitu lewat.

Kalau ada yang menyangka Siti bakal menjadi ibu, Siti memberitahu belum ada tanda-tanda beliau hamil.