Siti sudah berbadan dua?

Oleh Farihad Shalla Mahmud

APABILA bercerita mengenai penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, perkara paling penting yang orang ingin tahu adalah benarkah isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Khalid Mohamad Jiwa ini sudah berbadan dua.

Walaupun sudah beberapa kali Siti meyakinkan pihak media bahawa dia masih belum menampakkan tanda bakal bergelar ibu, ada sumber-sumber dalam industri hiburan yang menyatakan harapan Siti dan suami untuk menimang cahaya mata bakal menjadi kenyataan penghujung tahun ini.

Bukan sengaja mengada-adakan cerita tetapi kata satu sumber yang rapat dengan Hip menyatakan, Siti dikatakan sudah mula menolak untuk mengadakan persembahan untuk beberapa bulan akan datang iaitu mulai pertengahan bulan ini, semata-mata mahu menjaga kandungannya yang semakin membesar ketika itu.

Malah, ada juga sumber lain memberitahu Siti pernah dilihat menjalani pemeriksaan awal khusus untuk wanita mengandung di sebuah pusat perubatan swasta terkemuka di Kuala Lumpur sambil ditemani suami serta ibu tercinta, Siti Salmah Bachik.

Difahamkan, peristiwa mengunjungi perubatan swasta itu berlaku baru-baru ini iaitu sebelum Konsert 3 Diva berlangsung di ibu negara. Tidak cukup cerita itu, perubahan bentuk fizikal Siti yang begitu ketara sejak kebelakangan ini setiap kali muncul dalam mana-mana acara seolah-olah membenarkan dakwaan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Biarlah Rahsia itu bakal bergelar ibu.

Persoalannya, benarkah semua dakwaan ini? Atau, ia sekadar spekulasi semata-mata. Jika benar kandungan Siti masih di peringkat awal, tentunya penyanyi popular itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan aktiviti nyanyian demi menjaga kandungan.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sepanjang bulan ini saja, Siti terbabit dengan pelbagai pertunjukan termasuk persembahan sempena Minggu Setiausaha serta Konsert Istana Cinta Datuk Siti Nurhaliza, iaitu persembahan nostalgia P Ramlee dan Saloma di Istana Budaya.

Ketika diminta mengulas perkara ini, Khalid atau lebih mesra disapa Datuk K menafikan isteri kesayangannya itu sedang mengandung.

“Belum… belum lagi, Siti masih belum mengandung. Dia cuma tak sihat badan saja hari tu. Batuk dan demam sikit, tapi sekarang sudah pulih. Buat apa saya nak rahsiakannya? Saya bukannya bermusuh dengan pihak media. Jika betul Siti mengandung, saya akan maklumkan pada anda semua. Tunggulah,” janji Khalid.

Sementara itu, pengurus yang juga kakak ipar Siti, Rozi Abdul Razak, turut menafikan dakwaan Siti kini sudah mengandung. Beliau menganggap berita Siti mengandung dan menjalani pemeriksaan seperti yang digembar-gemburkan adalah cerita karut serta tidak berasas.

“Merepeklah cerita itu. Sah-sah makcik Salmah tidak pernah pergi menemani Siti di pusat perubatan itu. Belum, Siti belum mengandung lagi. Semua itu bohong,” jelas Rozi dalam satu kenyataan yang dikirim kepada Hip menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) petang Sabtu lalu.

Seperti juga kenyataan Siti sebelum ini apabila ditanyakan mengenai perkara itu (mengandung), dia tetap menafikannya.

Jelas Siti, mengandung adalah satu anugerah yang tidak ternilai daripada Tuhan buat hambanya dan sebagai penyanyi yang menjadi milik masyarakat, dia akui tidak akan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan peminatnya.