Siti sibuk buat kerja amal

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Bintangnya masih menyinar, kebahagiaan terus dikecapi penyanyi tersohor

KETIKA pertemuan berlangsung, Rabu lalu, Datuk Siti Nurhaliza baru saja dua hari pulang dari Jakarta, Indonesia. Siti ke sana kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai duta produk Pantene untuk dua negara, Malaysia dan Indonesia.

“Alhamdulillah, program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene di Indonesia sudah berakhir. Pemenang pun sudah ditemui,” katanya, sempat meluangkan masa seketika untuk ditemu bual usai sidang media ketiga Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.

Siti yang bakal membuat persembahan pada penutup malam kemuncak ABPBH 2006 kebelakangan ini semakin aktif membabitkan diri dengan kerja amal. Isnin lalu, dia bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa sempat melawat beberapa penempatan dilanda banjir sekitar Raub, Pahang.

Sebelum itu, Siti menghulurkan sumbangan di 13 penempatan mangsa banjir sekitar Johor menerusi Yayasan Nur Jiwa yang ditubuhkannya bersama suami.

“Yayasan ini ditubuhkan sejak kami berdua berumahtangga. Banyak yang Siti dan suami ingin lakukan. Cuma masih ada satu saja niat kami yang belum tertunai iaitu ingin mendirikan masjid.

“Dalam keadaan sekarang, ketika masyarakat berdepan dengan bencana banjir, Siti dan suami bertindak ke depan memberikan sedikit sumbangan. Mereka dalam keadaan memerlukan dan sudah menjadi tanggungjawab kita sesama insan membantu mereka yang kesusahan,” katanya.

Namun, kata Siti yang hampir lima bulan bergelar isteri, bidang nyanyian masih tidak dilupakan. Selepas Transkripsi yang mencecah jualan hampir 100,000 unit, penyanyi berusia 28 tahun itu akan tampil dengan album baru.

Kali ini, Siti memilih konsep pop tradisional dan dijangka menemui peminat pertengahan tahun ini. Ia dihasilkan atas permintaan peminat yang merindui kemerduan dan kelunakan vokal Siti ketika mengalunkan lagu tradisional.

“Siti akan bekerjasama dengan beberapa nama baru untuk mendapatkan nuansa lebih kreatif dan berbeza daripada album pernah dihasilkan sebelum ini. Kemungkinan Siti ingin mendapat sentuhan lebih sejagat, seiring dengan aliran muzik ketika ini,” katanya.

Anugerah:

KATA Siti, lantaran kesibukannya majlis penganugerahan atas pencapaian cemerlang album Transkripsi terpaksa ditunda beberapa kali. Dengan jumlah yang membanggakan itu, Siti berjaya menghapuskan tanggapan album Melayu sukar meraih angka jualan memberangsangkan.

“Siti begitu berpuas hati, apatah lagi Transkripsi adalah album sulung diterbitkan menerusi label Siti Nurhaliza Productions (SNP),” katanya yang popular dengan lagu Biarlah Rahsia dan Siti Situ Sana Sini menerusi album itu.

Menerusi Transkripsi juga, Siti berjaya membolosi Top 5 Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 2006. Apakah Siti mampu mempertahankan trofi digenggamnya selama sembilan tahun atau ia beralih kepada nama baru?

Jawapannya akan diketahui pada 4 Februari ini. Untuk kategori itu, Siti disaingi nama popular seperti Misha Omar, Erra Fazira, Jaclyn Victor dan Dayang Nurfaizah.

“Seperti tahun terdahulu, Siti tidak pernah meletak harapan. Siti menyerahkan kepada peminat. Ia juga bergantung kepada rezeki. Siti hanya berusaha memberikan yang terbaik dan pengiktirafan adalah sebagai bonus atas kesungguhan selama ini,” kata Siti yang cukup bersedia untuk menyandang gelaran ibu.

Kontroversi:

BIARPUN sedang menganyam kebahagiaan bersama suaminya yang penyayang, Siti tidak sunyi diusik dugaan. Ada saja kontroversi yang cuba menerjah dirinya. Namun, jiwa Siti seteguh karang.

Biar berulang kali dihempas badai dugaan, dia teguh berdiri. Tidak pernah kontroversi itu dibiarkan menguasai diri, sebaliknya Siti cuba bertenang dan bersikap positif walaupun jauh di sudut hati dia terguris dengan tohmahan tidak bernoktah.

“Terpulang apa orang mahu cakap. Siti malas hendak fikir semua itu kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan pun. Siti hanya fikirkan soal hari depan, merencana karier dan menjaga kebahagiaan rumah tangga.

“Itu lebih penting daripada memikirkan cakap mereka yang mahu menjatuhkan dan mengguris perasaan Siti. Siti cuba berfikiran positif dan percaya, setiap yang berlaku ini ada hikmah tersembunyi,” katanya matang.

Akui Siti, sejak lima tahun lalu banyak cabaran terpaksa ditempuhinya namun dia tidak mahu terbawa dengan kesakitan itu.

“Siti sudah lali mendengar apa saja tohmahan. Ia bukan perkara baru lagi dalam hidup Siti. Biarlah… Siti cuma berharap diberi Tuhan kekuatan untuk mempertahankan kebahagiaan dilimpahkan kepada Siti ketika ini,” katanya.