‘Siti sering tanya cara layan suami’

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud dan Serimah Mohd Sallehuddin

Pengantin baru kongsi suka duka dengan sahabat dari seberang, Kris Dayanti

ANDAINYA sebelum ini media tempatan bertungkus lumus mengejar Datin Siti Nurhaliza Tarudin untuk mendapatkan kepastian mengenai perkahwinannya, penyanyi itu lebih senang membiarkan persoalan berkenaan terus bersarang di jiwa media hingga tiba tarikh keramat 17 Julai lalu.

Percintaan Siti dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebenarnya bukanlah rahsia di kalangan media tempatan. Kisah cinta Siti Nurhaliza dengan duda beranak empat itu sudah dihidu media sejak akhir tahun lalu. Namun, Siti sering menafikan.

Andai kita masih berteka-teki dan mencari tarikh sebenar perkahwinan Siti, tarikh itu bukanlah rahsia di kalangan teman rapatnya dari seberang.

Siti sudah terlebih dulu berkongsi berita gembira itu kepada mereka. Malah sudah mengundang mereka untuk memeriahkan majlis perkahwinan yang boleh diibaratkan seperti perkahwinan anak raja.

Siapa yang tidak tahu keakraban Siti Nurhaliza dengan penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti atau KD. Hubungan baik yang terjalin sekian lama menyebabkan Siti menaruh kepercayaan malah membuatnya berasa selesa untuk berkongsi perasaan suka dukanya kepada penyanyi dari seberang itu.

Menurut penyanyi itu, Siti sering berbincang soal pernikahan dan bertanya tips-tips melayari bahtera rumah tangga kepada penyanyi itu memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama.

Namun, pemilik lagu Mencintaimu itu merahsiakan apakah butir bicara serta nasihat yang diberikan kepada penyanyi berkenaan.

“Dia sering bertanya kepada saya bagaimana hidup berkeluarga dan cara melayan serta menyenangkan hati suami. Saya sudah cerita semua kepadanya, tapi itu rahsia kami,” katanya yang ditemui sebaik selesai majlis persandingan itu.

Siti Nurhaliza mengundang KD menerusi telefon kira-kira dua minggu lalu ke majlisnya malah menjemput KD membuat persembahan pada majlis persandingannya dengan Khalid di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC). Siti juga membuat permintaan supaya KD mendendangkan lagu kegemarannya Mencintaimu.

Kelmarin, sebuah akhbar Indonesia melaporkan KD sudah mengetahui kisah cinta Siti dan Khalid sejak beberapa tahun lalu apabila Siti menjadikan KD sebagai tempatnya meluahkan perasaan.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai isu berkenaan KD tidak memberikan sebarang komen dan berlalu meninggalkan media tanpa sepatah kata.

Seorang lagi penyanyi dari seberang yang turut kelihatan pada majlis persandingan Siti ialah penyanyi evergreen Hetty Koes Endang.

Hetty yang mendendangkan lagu When You Tell Me That You Love Me pada majlis persandingan kedua-dua mempelai itu hanya mendoakan yang terbaik buat Siti dan Khalid. Baginya siapa saja pilihan Siti terpulang kepada penyanyi itu dan menganggap ia sebagai takdir.

Ditanya bilakah dia menerima undangan perkahwinan Siti, Hetty berkata, penyanyi itu menjemputnya Februari lalu ketika sama-sama menjayakan Majlis Amal Kasih yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis berkenaan turut dihadiri Khalid yang mengenakan pakaian sedondon berwarna ungu sama dengan Siti.

Bagaimanapun, Hetty berkata dia tidak mengambil tahu kisah peribadi Siti Nurhaliza serta kontroversi yang membabitkan Siti. Namun, Hetty menasihatkan Siti supaya memberikan keutamaan kepada keluarga setelah bergelar seorang isteri.

“Sepopular mana pun seorang isteri itu, dia harus menghormati suaminya. Apabila sudah berkahwin, Siti harus memilih yang mana paling utama dan seharusnya dia mengutamakan keluarganya,” katanya yang turut mengharapkan perkahwinan penyanyi itu berkekalan hingga akhir hayat.

Corat-Coret
Majlis persandingan Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa

PENGHIBUR Indonesia, Kris Dayanti (KD) menjadi tumpuan tetamu. Tidak berhenti cahaya kamera berkelip sebaik penyanyi Mencintaimu itu melabuhkan punggungnya. KD semeja dengan penyanyi tempatan seperti Dayang Nurfaizah, Ning Baizura, Nora dan suami.

ADA persamaan antara tiga artis wanita iaitu KD, Nora dan Ning Baizura. Ketiga-tiga mereka memilih gaya potongan rambut pendek. Duduk semeja, malah ketiga-tiga penyanyi bersuara hebat itu turut membuat persembahan pada majlis persandingan bersejarah itu.

ANAK ketiga Datuk K, Mohd Asyraf menjadi tumpuan ramai apabila hadir dengan baju Melayu cekak musang berwarna merah jambu lengkap bersamping. Paling kelakar apabila pihak media berebut-rebut untuk merakamkan gambar kenangan dengannya.

KETULUSAN cinta Siti terhadap suaminya diabadikan menerusi sebuah lagu berjudul Cahaya Cinta hasil nukilan Siti sendiri. Siti juga mendendangkan buat pertama kalinya lagu itu pada majlis persandingannya.

ACARA hiburan yang berlangsung malam itu agak meleret sehingga membosankan tetamu yang hadir. Namun, persembahan spontan Hetty Koes Endang yang menyanyikan lagu When You Tell Me That You Love Me memang meletup walaupun tanpa sebarang latihan.

JANGAN tak tau, Datuk K juga ada peminat tersendiri. Sewaktu kedua mempelai itu sedang mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir, seorang kanak-kanak kelihatan menghulurkan buku untuk ditandatanganinya.

GURAUAN Hetty Koes Endang yang menyebut dirinya dan Siti mempunyai cita rasa yang sama apabila memilih lelaki bermisai sebagai suami mengundang gelak ketawa tetamu yang hadir.

PASANGAN Hattan dan Faradhiya hadir bersama dengan pakaian sedondon iaitu biru firus. Malah pasangan ‘hanya kawan biasa’ itu kelihatan cukup mesra sepanjang berada di majlis itu.

SETIAP tetamu yang hadir dibekalkan cenderahati sebuah beg kertas berwarna kelabu tertera huruf S dan K berisi cakera padat serta coklat sebagai tanda kenangan daripada pihak tuan rumah. Bagaimanapun, tak semua tetamu dapat gara-gara bekalan tidak mencukupi.

IBU dan bapa pengantin perempuan turut menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 38 tahun. Siti Salmah Bachik, ibu kepada Siti sempat menyuapkan pulut kuning ke mulut suaminya.

DEWAN Pameran 1 & 2 di mana persandingan itu berlangsung menyediakan empat layar besar untuk kemudahan tetamu. Bagaimanapun apa yang ditayangkan di layar itu tidak sama dengan apa yang berlaku di atas pentas menyebabkan tetamu terpinga-pinga dan keliru apa sebenarnya berlaku.

KETIKA tetamu di dalam dewan sedang enak menjamu selera, di bahagian dapur lain pula ceritanya. Keadaan sungguh kelam kabut dan hiruk pikuk mengalahkan kapal karam.

DALAM sibuk mengawal ketat si pengantin sehingga menyukarkan pihak media bertugas, tup-tup ada pula seorang makcik ni terlepas naik ke pelamin dan merenjis kedua-dua mempelai. Hmmm, kata ketat sangat kawalan tetapi ‘yang ado’ tajuk albumnya.

SEBELUM acara memotong kek berlangsung, tetamu juga dihidangkan dengan tayangan klip video perkembangan kerjaya seni Siti di TV3 dari awal sehingga kini.

KEKURANGAN kemudahan asas menjadi masalah utama pihak media untuk menghantar bahan berita. Apa salahnya disediakan sebuah pusat media untuk menyenangkan mereka yang bertugas terutama media Indonesia dan Singapura menghantar bahan.