Siti Saerah, Elyas bertunang, Dynaz dirisik


SAERAH dan tunang diapit Fasha
dan Datuk Siti.

SEBAIK saja dimaklumkan adik kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Saerah dah bertunang, Zubir berkali-kali cuba menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan, tapi tidak berjawab. Sehinggalah lewat petang 7 Julai lalu, Zubir berjaya juga menembusi talian Saerah.

“Maaflah Abang Zubir, majlis pertunangan Saerah baru saja selesai sekejap tadi. Minta maaflah Saerah tak panggil rakan media kerana Saerah hanya menjemput saudara mara dan rakan terdekat saja,” katanya membuat pengesahan mengenai pertunangannya itu.

Zubir difahamkan, Saerah mengikat tali pertunangan dengan pemuda pilihannya, Elyas Tahir, 24, selama setahun.

Zubir dan warga kerja Bintang Popular ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Saerah dan Elyas di atas pertunangan mereka itu. Mudah-mudahan hajat untuk mendirikan rumah tangga dimakbulkan Tuhan, insya-Allah.

Zubir juga dimaklumkan rakan artis yang hadir pada majlis pertunangan Saerah itu ialah teman baiknya saja iaitu Fasha Sandha yang kebetulan tidak terbabit dengan sebarang penggambaran pada tarikh berkenaan. Pastinya kakak kesayangan Saerah, Datuk Siti hadir memeriahkan lagi majlis pertunangan adiknya itu.

Sementara itu, pelakon utama Haru Biru yang kini sedang meletup dengan drama Susuk, Dynaz khabarnya sudah dirisik teman lelakinya. Pun begitu, ramai yang membuat andaian dirinya sudah bertunang, walhal hanya cincin tanda saja yang melekat di jari manis Dynaz.

“Ini cincin merisik, bukan cincin tunang. Insya-Allah kalau mengikut perancangan, kami akan terus nikah, tak ada majlis pertunangan. Sekiranya direstui dan mendapat izin Tuhan, kami merancang akan berkahwin sebelum hujung tahun ini,” kata Dynaz yang ditemui dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini.

Zubir sekadar mendoakan rakan artis yang dah bertunang tu, dah dirisik, akan bertemu jodoh mereka sedikit masa lagi, insya-Allah.