Siti rancang buka butik, kedai kosmetik

Oleh Zainuri Misfar

Sedia berhenti menyanyi pada 2020 kerana fokus kepada keluarga, tugas sebagai ibu

KEHADIRAN Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang tampil di pentas utama ruang pameran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Tun Razak, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Khamis lalu, seolah-olah tidak disedari orang ramai yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2006.

21ctz.jpg
MESRA: Siti menghiburkan
peminat cilik ketika
berkunjung ke pameran RMK-9
di PWTC, baru-baru ini.

Kebetulan ketika Siti muncul, sebahagian besar pengunjung sedang khusyuk mendengar ucapan perwakilan dari Dewan Merdeka, yang terletak di Aras 5 menyebabkan mereka kurang ghairah untuk melihatkan penyanyi itu dengan lebih dekat.

Selain mendengar ucapan, ramai yang berpusu-pusu untuk makan tengah hari kerana penyanyi itu datang ke dewan pameran kira-kira jam 1 tengah hari. Kebanyakan yang hadir memenuhi ruang berhampiran pentas utama adalah kalangan petugas atau mereka yang secara kebetulan berada dalam dewan pameran itu.

Bagaimanapun, dalam kemunculan selama hampir 45 minit itu, Siti Nurhaliza yang ditemani dua personaliti TV3, Ally Iskandar dan Azizah Ariffin banyak bercakap mengenai wawasan, pencapaiannya sebagai penyanyi dan sedikit mengenai hal peribadinya.

Ini termasuk hasratnya untuk menceburi perniagaan kecantikan dan pakaian kerana mempunyai kecenderungan ke arah itu selain peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Memang ada cadangan untuk menceburi bidang kosmetik. Saya tidak mahu ketinggalan merebut peluang perniagaan yang ada. Kerajaan pun sudah sediakan bermacam-macam kemudahan untuk kita berniaga. Saya sudah jadi penyanyi selama 11 tahun. Duit kalau tidak diurus dengan baik, dalam masa setahun boleh habis. Sebagai artis, apabila ada duit, kita kena fikir jauh. Sebab itu, saya cuba kembangkan dalam perniagaan.

“Saya sudah ada Siti Nurhaliza Production, Siti Nurhaliza Sound System, CT Marketing dan beberapa lagi. Walaupun kecil, kita kena pasti dan berani untuk menceburinya,” katanya.

Ditanya bagaimana Siti Nurhaliza pada 2020 nanti, penyanyi itu dengan bersahaja mengatakan waktu itu beliau mungkin sudah bersara daripada bidang nyanyian untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

“Saya harap 2020 nanti, mungkin saya tidak menyanyi lagi kerana hendak memberi fokus kepada keluarga, seorang ibu berjaya, seorang ahli perniagaan wanita berjaya, terbabit dengan kerja amal dan kebajikan dan membantu usaha kerajaan meningkatkan orang kita dalam bidang ekonomi,” jelasnya.

Diminta mengulas pencapaiannya sebagai penyanyi berjaya, beliau menjelaskan, setiap kegiatan yang dilakukan, termasuk bidang nyanyian mesti ada misi dan cita-cita kerana ia akan menjadi pendorong untuk berusaha lebih kuat.

“Dulu saya ikut emak menyanyi di kenduri kahwin. Dirasakan boleh menyanyi, saya tanamkan dalam hati, yang saya hendak penyanyi berjaya. Saya kerja kuat untuk capai visi itu,” katanya.