Siti pikat peminat Kadazan Dusun.

GAYA Siti sewaktu menyanyikan lagu Nokoikot Noh Nonombuhui.

BERPAKAIAN Kadazan Dusun serba hitam dan tampil menyanyikan lagu berjudul Nokoikot Noh Monombuhui atau Tetamu Sudah Tiba, ia nyata menyerlahkan kehebatan penghibur popular tanah air, Siti Nurhaliza Taruddin.

Siti diundang memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, 18 Mei lalu.

Disaksikan tetamu kehormat, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta kira-kira 100,000 pengunjung, Siti nyata mampu menyanyikan lagu Kadazan Dusun dengan hebat sekali.

Walaupun hanya menyampaikan sebuah lagu berbahasa Kadazan Dusun sebagai pembuka tirai untuk persembahan hiburan dan kebudayaan rumah terbuka itu, peminat Siti di Sabah yang datang sejak petang lagi, memberikan sorakan bergemuruh.

Persembahan hiburan pada malam itu juga dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar; Ketua Menteri, Datuk Musa Aman dan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Ia turut dimeriahkan beberapa artis tempatan Sabah antaranya, Abu Bakar Ellah, Evaristus Gungkit dan Valerie Wong serta kumpulan tarian dari Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang mempersembahkan tarian kebudayaan pelbagai suku kaum dari Sabah.

Selain tampil menyanyikan lagu dalam bahasa Kadazan Dusun, seperti biasa, Siti turut menyampaikan beberapa lagu popularnya khusus untuk peminatnya di Sabah dan turut berduet dengan Abu Bakar Ellah.
Persembahan kira-kira empat jam itu turut diselang seli dengan persembahan artis tempatan termasuk beberapa lagu dalam bahasa daerah Sabah, Cina dan
India.

Selain persembahan hiburan, melalui kerjasama Yayasan Huminodun, pengunjung turut diberi kesempatan melihat kejelitaan Unduk Ngadau atau Ratu Cantik Kaamatan yang dimahkotakan sejak tahun 1980-an hingga tahun lalu.

http://www.emedia.com.my/”