Siti penyanyi paling popular

Oleh Rudy Imran Shamsudin

KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza membuktikan popularitinya masih berada di puncak apabila meraih anugerah utama pada majlis yang mengiktiraf penggiat muzik di rantau Nusantara yang berlangsung di Singapura malam tadi.

Di malam gemilang itu, Siti mengekalkan pencapaiannya apabila memenangi anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular yang undiannya diterima daripada peminat di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Lebih manis apabila dia berjaya merampas kembali Anugerah Penyanyi Wanita Terbaik daripada pemenang tahun lalu, Kris Dayanti.

Dalam ucapannya, Siti yang ditemani suami Datuk Khalid Mohd Jiwa, berkata kemenangan itu amat bermakna kerana menerusi album terbarunya menampilkan lagu popular, Biarlah Rahsia pelbagai kejayaan diraih sama ada di Malaysia mahupun negara luar.

“Kejayaan saya raih malam ini adalah berkat sokongan peminat. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana terus menyokong begitu juga dengan syarikat rakaman sendiri Siti Nurhaliza Production dan tidak ketinggalan suami tersayang,” katanya.

Lagu Biarlah Rahsia turut memenangi anugerah Lagu Terbaik menewaskan saingan terdekatnya M Nasir yang dicalonkan menerusi lagu Juwita Citra Terindah dan Kenangan Terindah nyanyian kumpulan popular Indonesia, Samson.

Pemenang anugerah Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2006/07) Asmawi Ani atau Mawi turut mencipta sejarah peribadi apabila memenangi anugerah Artis Lelaki Paling Popular menewaskan penyanyi pilihan dari Singapura, Taufik Bathisha.

“Saya tidak sangka memenangi anugerah ini, terima kasih kepada semua peminat yang berada di Singapura, Brunei, Indonesia mahupun Malaysia sendiri kerana mempercayai bakat saya,” katanya sebaik menerima trofi kemenangan.

Tahun lalu Mawi turut dicalonkan bagi kategori sama tetapi tewas kepada Taufik. Kemenangan diraih bermakna dia sudah berjaya mencipta populariti di negara Kota Singa itu. Lagu dendangannya Kian turut memenangi anugerah Lagu Paling Popular.

Turut berkongsi kegembiraan, penyanyi yang semakin mencipta nama menerusi album terbarunya Alam Maya, Noryn Aziz apabila dipilih juri untuk memenangi anugerah Penyanyi Wanita Baru Terbaik.