Siti Nurhaliza Teruja Di Johor

Oleh IFQDAR A. RAHMAN
Gambar nasiruddin yazid


PERTAMA kali tampil dalam persembahan sempena minggu setiausaha di johor.

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin teruja dan berterima kasih kepada tetamu yang menghadiri persembahan sulungnya sempena Minggu Setiausaha 2012 di Johor Bharu baru-baru ini kerana mengikut tema yang ditetapkan.

Persembahan yang bertemakan pakaian hitam dan merah itu dianjurkan buat pertama kalinya oleh Johor Corporation (JCorp) Hotel dan Resort di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada dan dihadiri 1,400 tetamu.

Menurut Siti, jika dibandingkan dengan persembahan di Kuala Lumpur, tetamu yang hadir mengikut tema hanya sebahagian, manakala yang lainnya memakai pakaian mengikut cita rasa masing-masing.

“Di sini, saya terpegun kerana hampir seluruh dewan mengenakan pakaian hitam dan merah. Ia amat mengagumkan saya apatah lagi ini adalah konsert mini pertama di sini.

“Disebabkan itu, saya menjadi amat teruja melihat suasana dewan yang memenuhi tema dan menjadikan saya lebih semangat untuk menghiburkan mereka,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat persembahan.

Siti Nurhaliza yang anggun dengan busana merah cili rekaan Ezuwan Ismail memberitahu, pada tahun ini dia hanya menjayakan satu persembahan sahaja sempena sambutan Minggu Setiausaha.

Katanya, kesibukan sebagai usahawan kosmetik selain mahu memberi ruang kepada penyanyi lain membuatkannya membuat keputusan tersebut.

Pada masa yang sama, Siti Nurhaliza mengucapkan ribuan terima kasih kepada JCorp kerana menjemputnya menghiburkan rakyat negeri ini.

Dalam persembahan yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu, Siti Nurhaliza mendendangkan 16 lagu termasuk berduet dengan penyanyi kelahiran Johor yang juga idolanya, Ramlah Ram.

Utusan