Siti Nurhaliza Semakin Matang Di Pentas.

“BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad – Dewan Amphitheatre Taman Permainan Jerudong yang boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang penonton malam semalam hampir penuh semuanya oleh peminat Siti Nurhaliza dalam persembahan Konsert Siti Nurhaliza Live in Brunei.

Gambaran itu sekali gus menjadi petanda jelas yang belum ada penyanyi Malaysia lain yang dapat menandingi populariti penyanyi nombor satu Malaysia ini.

Persembahan Siti Nurhaliza nyata jauh berbeza daripada persembahan terdahulu – dia kini semakin matang dan semakin pandai memikat penonton dengan perbualan spontan dan bersahajanya.

Malah dia semakin pandai berjenaka dengan penonton di atas pentas.

Persembahan Siti Nurhaliza juga mantap dengan iringan pemuzik profesional.

Peminat setia Siti Nurhaliza mulanya dihiburkan dengan dendangan medley Kitakan Bersama, Kini Kau Di sisi dan Engkau Bagaikan Permata.

Peminat terus hanyut dibuai dengan “”suara emas”” Siti Nurhaliza menerusi lagu Percayalah, Jerat Percintaan, Purnama Merindu dan Nian Di Hati.

Siti turut mendendangkan lagu Inggeris berjudul Over Protected yang dipopularkan oleh Britney Spears.

Segmen Siti Nurhaliza bersama peminat begitu mencuit hati penonton apabila peminat-peminatnya yang bertuah naik ke pentas menunjukkan bakat menyanyi dan menari bersamanya.

Salah seorang peminat yang bernama Kamil ketika ditanya oleh Siti Nurhaliza apakah yang dia akan dibuat di atas pentas dengan spontan berkata: “”Ingin meminang Siti”” hingga menggemuruhkan panggung.

Apa pun gelagat, Siti Nurhaliza yang sudah lebih lima tahun berpengalaman dalam bidang seni bijak mengawal suasana.

Siti menerusikan persembahan dengan membawakan lagu lagu Sucinya Cinta Mu, Kurik Kundi, Bisikan Hati dan Nirmala.

Tidak ketinggalan dia mendendangkan sebuah lagu Arab bertajuk Nour El Chams.

Persembahan Siti Nurhaliza live in Brunei yang turut menarik peminat yang datang dari Malaysia dan Singapura itu ditamatkan dengan lagu evergreen, Cindai.

Sehari sebelum itu Siti “”diserbu”” 450 peminat yang memegang tiket bernilai $100 pada majlis minum petang bersama peminat di Hotel Empire and Country Club, (selepas “”dikepung”” lebih 500 peminat yang menanti ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Berakas, tengah malam kelmarin). Majlis tersebut antara lain diisi dengan sesi dialog dengan peminat dan sesi menandatangani autograf.

Kedatangan Siti dibawa oleh Pepsi dan Kristal KRU, tajaan Empire Hotel & Country Club, Royal Brunei Airlines, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Kristal TV and Kristal FM.

Brunei-Online”