Siti Nurhaliza menang Anugerah Muzik Indonesia.

Oleh: ABD. AZIZ ITAR

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin menambah satu lagi pencapaian apabila dia merangkul anugerah kategori Album Malaysia Terbaik dalam Anugerah Muzik Indonesia (AMI) yang berlangsung di Jakarta semalam.

Siti Nurhaliza menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan.

Anugerah itu merupakan anugerah peribadi yang ke-105 diterima oleh Siti Nurhaliza sejak menceburi bidang nyanyian tujuh tahun lalu.

Siti Nurhaliza memenangi anugerah itu berdasarkan pencapaian album terbarunya berjudul Emas yang telah terjual melebihi 300,000 unit di Indonesia sejak dipasarkan 3 Mac lalu.

Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu bagaimanapun tidak dapat menghadiri majlis anugerah tersebut kerana mengadakan persembahan di Pulau Langkawi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2003 (LIMA).

“Siti diberitahu oleh pihak syarikat rakaman Universal Music yang mengedarkan album Emas di sana,” kata Siti Nurhaliza ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Pengurus Promosi syarikat rakaman SRC, Mohd. Bahanordin Deraman pula berkata: “Ini adalah kemenangan kedua Siti Nurhaliza dalam AMI. Tiga tahun lalu, beliau menggondol anugerah Artis Luar Negara Paling Berhasil.”

Sebelum ini, Siti Nurhaliza turut menerima anugerah Pencapaian Budaya dalam anugerah The Outstanding Young Malaysian Awards 2003 yang diadakan di Sunway Lagoon Resorts, Petaling Jaya.

http://www.utusan.com.my/