Siti Nurhaliza masih unggul

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Alleycats diberi pengiktirafan selepas 39 tahun dalam muzik

BIARPUN diasak pelbagai kontroversi, malah karier nyanyiannya juga dianggap semakin terbatas sejak bergelar isteri lebih setahun lalu, penyanyi bersuara lunak, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu masih mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di hati peminatnya.

Ketika kebangkitan penyanyi baru, serta lambakan bintang yang dicungkil menerusi program realiti TV, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu masih utuh melayari gelora dunia seni. Populariti Siti masih unggul, belum mampu dicabar meskipun sentiasa ada saja nama baru yang semakin mekar dalam industri hiburan.

Malam kelmarin, Arena Of Stars, Genting Highlands menyaksikan isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Khalid Mohd Jiwa itu masih bertahan. Buat kali kelima, trofi Vokal Wanita Pilihan, Anugerah Era (AE) 2007 berada dalam genggamannya.

Penguasaan Siti menghampakan empat bintang yang dicungkil menerusi pertandingan realiti iaitu juara Malaysia Idol 1, Jaclyn Victor serta tiga bintang Akademi Fantasia (AF), Farhan, Mila dan Velvet.

Anggun menggayakan gaun hijau rekaan Rizman Ruzaini, Siti ketika menerima trofi itu berterima kasih kepada peminat yang masih setia bersamanya, tidak kira dalam apa juga situasi.

“Syukur kerana walaupun sudah bergelar isteri, peminat masih mempercayai bakat Siti,” katanya.

AE’07 juga menyaksikan detik gemilang buat kumpulan Alleycats apabila diiktiraf sebagai penerima trofi Anugerah Seni Era. Ucapan bermakna yang disampaikan vokalisnya, David Arumugam sewaktu menerima trofi pengiktirafan itu membawa maksud sangat mendalam.

Selama 39 tahun memperjuang agenda seni dan hanya selepas kematian adiknya, Loga, akhirnya David bagi pihak Alleycats dapat naik ke pentas untuk menerima pengiktirafan yang cukup bernilai itu.

Betapa perjalanan panjang yang mereka lalui itu melambangkan kesungguhan dan kecintaan mereka dengan membawa semangat seni untuk terus subur serta diterima masyarakat Malaysia.

Jika Alleycats terpaksa menanti sehingga hampir empat dekad untuk menerima pengiktirafan, berbeza pula dengan bakat baru kerana tidak perlu menanti masa yang panjang untuk bertakhta di hati peminat. Pengiktirafan datang dengan mudah dan AE’07 menterjemahkan populariti terus menjadi asas kepada peminat dalam menentukan senarai pemenang.

Namun, cukupkah sekadar membawa pulang trofi dan bagaimana pula dengan tanggungjawab untuk memartabatkan hasil karya tempatan di tempat sewajarnya?

AE’07 sebenarnya memberi isyarat serta petunjuk penting jika hasil karya anak tempatan tidak dipertahankan, tidak mustahil jika masa akan datang industri muzik kita akan dikuasai penggiat seni luar. Senario itu makin meruncing dan AE’07 menjadi contoh kecil apabila anugerah khas, Anugerah Carta Era menyaksikan lagu kumpulan Indonesia, Kenangan Terindah daripada Samsons menjadi lagu yang paling lama bertahan dalam Carta Era sepanjang tahun lalu.

Menyorot keputusan keseluruhan AE’07, sebenarnya tidak banyak kejutan dan seperti diramalkan, Mawi terus unggul mempertahankan kemenangan pada hampir setiap kategori yang mempertandingkan namanya. Biarpun pencalonannya pada AE’07 merosot, berbanding AE’06, aura juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu belum pudar.

Ketika banyak pihak menyaksikan Mawi dianggap semakin hilang magis, malah kemerosotan pencalonan pada AE’07 dikatakan sebagai detik awal kejatuhannya, kesetiaan peminat terhadap anak Kulai, Johor itu tidak luntur.

Mawi unggul dengan tiga kemenangan daripada empat pencalonan yang diterimanya iaitu Persembahan Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan bersama Jamal Abdillah, Lagu Nasyid Pilihan (Al-Jannah) dan Video Muzik Pilihan (Langit Biru).

Bagaimanapun, AE’07 menyaksikan kebangkitan bakat baru yang dilahirkan daripada pertandingan realiti TV. Mila membuktikan pemilihannya sebagai juara wanita pertama program realiti popular itu tidak bersandar kepada populariti kosong semata-mata.

Bakatnya semakin diakui. Lagu yang membawa kepada kemenangannya pada malam final AF5, Persis Mutiara ciptaan Ajai menyaksikan anak kelahiran Pulau Pinang itu sebagai mutiara baru dalam bidang seni suara.

Mengetepikan lagu Pastikan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Angan Dan Sedar nyanyian Mawi, Mila mungkin boleh menarik nafas lega kerana biarpun masih belum memilik album penuh, dia sudah mampu untuk berlari seiring dengan dua nama besar itu. Malam itu, Mila turut membawa pulang trofi Artis Harapan Pilihan.

Penguasaan penyanyi senior, M Nasir dalam kategori Vokal Lelaki Pilihan membuktikan nama lama masih mampu bertahan jika terus diberi kepercayaan untuk melahirkan karya berkualiti. Hampir tiga tahun menyepi, Misha Omar berjaya menutup mulut pengkritiknya yang sangsi dengan kemampuannya membina semula nama lebih gemilang apabila mengungguli kategori Lagu Global Pilihan menerusi Nafas Cahaya.