Siti Nurhaliza hebat, Rosiah Chik unggul.

NAMPAKNYA rezeki Siti Nurhaliza terus melimpah ruah. Cerita kejayaannya mengadakan persembahan bersama Datuk S. M. Salim di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dua minggu lalu masih belum reda. Bintang kesayangan dunia hiburan ini terus melakar kejayaan peribadi.

Minggu lalu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mengadakan persembahan secara duet dengan seorang lagi penghibur veteran, Rosiah Chik.

Kemampuan Siti sekali lagi diuji. Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula terpaksa akur. Kewibawaannya memang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Mungkin apa yang akan diceritakan di sini akan menyebabkan sebilangan besar pembaca atau peminat cuba merumuskan bahawa Siti terlalu dipuji. Hakikatnya, itulah yang dapat dilihat dan dia berhak menerimanya.

Pada Malam Irama Melayu Antara Dua Generasi itu, persembahan secara duet dengan penghibur veteran Rosiah menghiburkan banyak mata dan telinga.

Bukan mudah untuk menggabungkan vokal dua penyanyi dari era yang berlainan dalam gabungan lagu-lagu Melayu asli atau tradisional.

Tetapi Siti membuktikan faktor usia bukanlah penghalang baginya untuk menjadikan nyanyian sebagai saluran terbaik untuk merapatkannya dengan penyanyi yang lebih banyak makan garam daripadanya.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk Siti mengenali lebih rapat penyanyi veteran selain menimba ilmu baru berkaitan dengan dunia nyanyian,” akui penyanyi yang berusia 22 tahun itu.

Tampil dengan pakaian serba biru, Siti dan Rosiah memilih tiga lagu tradisional iaitu Damak, Laksamana Mati Dibunuh dan Joget Pucuk Pisang sebagai halwa telinga untuk pendengar yang terus mencintai dan dahagakan lagu-lagu Melayu.

Selain lagu duet, Siti turut menyampaikan empat lagu secara solo iaitu Joget Kasih Tak Sudah, Ya Maule, Mahligai Permata dan Masri Manis.

Rosiah atau Mak Rosiah (panggilan manja Siti buat Rosiah) pula barangkali akan menganggap detik manis itu sebagai medium terbaik baginya untuk `menurunkan’ ilmu nyanyian kepada generasi muda.

Rosiah, satu nama yang cukup rapat dengan irama Melayu asli sebenarnya sudah banyak menabur jasa dan bakti kepada usaha mempertahankan irama Melayu.

Suaranya pernah `dipinjamkan’ kepada ramai bintang ternama seperti Latifah Omar, Fatimah Ahmad, Rosnani Jamil dan Saadiah.

Malah boleh dikatakan populariti Rosiah jika dia hidup di India hampir menyamai penyanyi latar ternama seperti Asha Boshle.

Sudah beratus lagu dirakamkan sepanjang penglibatannya dalam bidang seni suara seawal usia 14 tahun.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui Rosiah sebenarnya pernah merakamkan 100 LP, seperti mana yang didedahkannya pada malam itu.

Tetapi apakah pengiktirafan tertinggi yang pernah diperoleh oleh Rosiah? Anugerah Industri Muzik (AIM) harus memikirkan sesuatu untuk seorang bintang ternama seperti beliau.

“Syukur, saya masih boleh menghiburkan anda, meskipun usia saya sudah meningkat,” kata Rosiah, 63, yang masih lagi aktif menyanyi.

Malam itu, kelunakan vokal Rosiah dan keunggulannya `memancing’ perhatian penonton dapat dilihat menerusi lagu yang dinyanyikan secara solo seperti Seri Mersing, Ibunda Tercinta, Bunga Tanjung dan Saat Demi Saat.

Pada usia sedemikian, Rosiah menganggap, apa yang akan diperjuangkannya ialah terus mempertahankan irama Melayu yang dianggap sudah sebati dengan dirinya.

Air mata Rosiah dapat dilihat bergenang di kelopak matanya pada malam itu. Mungkin insan seni yang unggul itu mahu menyatakan suara hatinya.

Malangnya, Rosiah dilihat seperti sukar untuk mengungkapnya.

Yang pasti, wanita yang dianugerahkan lima orang anak, 22 cucu dan sembilan cicit itu sebenarnya begitu setia dan jujur dalam memperjuangkan seninya.

Selain Siti dan Rosiah, Malam Irama Melayu Antara Dua Generasi turut dimeriahkan dengan penampilan satu-satunya penyanyi bukan Melayu yang terus bertahan, Andre Goh.

Andre menarik perhatian penonton menerusi lagu Nak Dara Rindu, Cantik Manis, Nasib Panjang dan Alunan Biola.

Persembahan ketiga-tiga penghibur ini diiringi oleh orkestra DBKL di bawah pimpinan Ishak Alimuda.

http://www.utusan.com.my/