Siti Nurhaliza dan Datuk K menghitung hari bahagia

Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

SEMOGA Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid bahagia ke akhir hayat.
——————————————————————————–

HANYA empat hari lagi penyanyi terkenal Siti Nurhaliza akan bergelar isteri kepada usahawan Datuk Khalid Muhamad Jiwa, 47.

Tarikh 21 Ogos ini, Siti, 27, dan Datuk Khalid yang popular dengan panggilan Datuk K akan mengada acara pertunangan terlebih dahulu sebelum diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pukul 11 pagi.

Majlis persandingan akan berlangsung seminggu kemudian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selasa lalu, pihak media diundang menghadiri majlis minum petang dan ramah mesra bersama pasangan tersebut di Sri Pentas, TV3.

Pada majlis itu, Siti dan Datuk K turut mengedarkan kad undangan pernikahan dan persandingan kepada wakil-wakil media.

Apa yang menarik, tema warna pakaian keluarga Siti pada acara pernikahan ialah hijau manakala majlis persandingan pula menampilkan warna krim putih.

“Siti memang berdebar sekarang,” kata penyanyi kesayangan ramai itu apabila ditanya perasaannya ketika ini.

“Dah pandai masak ke? Apa makanan kegemaran Datuk K?” usik seorang wartawan.

Balas Siti yang memanjang tersenyum pada petang itu; “Bolehlah masak yang biasa-biasa. Datuk K kalau ada sambal belacan dah ok.”

Namun yang jelas, kebahagiaan sedang melingkari hati penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza Tarudin.

Walaupun pelbagai reaksi yang timbul apabila Siti memilih Datuk K sebagai suaminya, semua pihak haruslah menghormati pilihan Siti.

Hampir 11 tahun penghibur itu membahagiakan peminat-peminatnya, kini tibalah pula masanya Siti Nurhaliza memiliki kebahagiaan yang dicari selama ini.