Siti Nurhaliza Cuma Mahu Hargai Kaum Ibu

Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

KUALA LUMPUR, 14 MEI 2012: Baru-baru ini ada suara yang seakan meghalang untuk meraikan sambutan Hari Ibu. Namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat beberapa orang artis popular untuk terus menyambut hari istimewa itu bersama-sama peminat masing-masing.

Tidak terkecuali artis nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang ternyata berjaya mengadakan majlis sambutan berkenaan di Ipoh dan juga di Subang.

Portal murai.com.my telah menghubungi Datuk Siti bagi mendapatkan pendapat peribadinya berhubung isu yang digembar gemburkan itu.

Namun menurut ikon pujaan ramai itu, dia tidak mahu bercakap atau komen tentang hukum serta fatwa seperti yang dikeluarkan, tetapi cukuplah dengan persepsinya tentang sambutan Hari Ibu.

“Sebenarnya setiap hari kita masih boleh menyambut Hari Ibu. Ianya lebih bagi menghargai jasa seorang ibu kerana ibu adalah insan paling dekat dengan jiwa dan kehidupan kita.

“Apabila kita menghargai ibu, itu adalah satu sifat atau tujuan yang baik. Banyak cara menghargai golongan ibu dan bagi saya jika sambutan ini daoat membudayakan rasa kasih sayang, kita tidak boleh mengambilnya dari perspektif yang negatif sahaja,” ujarnya yang menekankan konteks ibu dan anak sahaja.

Bercakap mengenai sambutan Hari Ibu yang diadakan, peranan Datuk Siti hanya sekadar menjadi penghibur dan menurutnya program seperti itu sudah lama diwujudkan dan melalui pelbagai cara.

“Saya baru saja selesai mengadakan majlis minum petang untuk meraikan ibu.Ada golongan yang membawa ibu mereka, keluarga malah ada yang membawa nenek, datuk mereka juga. Ikatan kekeluargaan dapat terlihat di majlis ini.

“Mereka juga menangis terharu dengan apa yang anak mereka lakukan. Suasana ini dapat dilihat betapa murninya nilai kasih sayang yang ada. Siti lebih suka melihatnya dari sudut yang positif,”jawab Datuk Siti tentang penglibatannya dalam majlis sambutan Hari Ibu yang disertainya.

Murai