Siti Nurhaliza Buat Kejutan Untuk Rizman Ruzaini

Teks Oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

Foto oleh Zamri SNP

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2012: Sebegai tanda penghargaan kepada pereka fesyen yang sering mencantikkan penyanyi no.1 negara, Datuk Siti Nurhaliza, empunya badan itu sendiri telah mengadakan majlis kejutan sambutan ulang tahun hari lahir buat Rizman Nordin daripada jenama Rizman Ruzaini.

Majlis yang bertempat di Penang Village Restaurant di Great Eastern Mall, di sini semalam itu telah dihadiri sahabat rapat Rizman dan juga ahli keluarga Datuk Siti Nurhaliza sendiri.

Menurut Datuk Siti, idea untuk mengadakan majlis kejutan itu lahir setelah mereka bertemu di konsert akhir Mania baru-baru ini dan sedar bahawa hari lahir Rizman bakal jatuh pada 28 Mei ini.

“Ini kali pertama rasanya Siti meraikan sambut hari lahir Rizman, kerana pada tahun sebelum ini Siti tidak dapat hadir atas kesibukkan dan jadual yang padat.

“Kebetulan Siti baru pulang dari Myanmar semalam dan pengurus, Rozi Abdul Razak bertanyakan mengenai perkara ini dan Siti juga ada masa pada tengahari ini jadi kami terus menghubungi teman rapat Rizman untuk turut sama menyambut hari lahir Rizman.

“Ini adalah sebagai tanda penghargaan Siti kepada Rizman Ruzaini dan majlis makan tengahari ini sangat santai kerana dihadiri sahabat terdekat.

“Pemilihan lokasi ini pula kerana Rizman pernah memberitahu Siti bahawa tempat ini cantik kalau diadakan majlis,”ujarnya yang merancang sendiri majlis ini sambil dibantu pengurusnya.

Bagi Rizman pula, ini adalah antara majlis sambutan hari jadi yang bermakna dalam hidupnya apabila dihadiri sahabat rapat dan direncanakan pula oleh Datuk Siti Nurhaliza yang merupakan penyanyi kegemarannya dan kini sudah menjadi kenalannya.

“Sebelum ini, sukar untuk teman saya mengadakan majlis kejutan buat saya kerana seringkali itu jugalah saya dapat menghidu rancangan mereka.

“Tapi kali ini saya benar-benar tidak menyangka dan apatah lagi mastermind majlis ini adalah Datuk Siti Nurhaliza.

“Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua yang hadir,” komen Rizman.

Murai