Siti Nurhaliza berlakon dalam Zaleh Ayam Patah.

“Oleh Junita Mat Rasid

PENANTIAN peminat Siti Nurhaliza melihatnya muncul dalam filem akhirnya terlaksana apabila dia muncul dalam filem pendek bertajuk Zaleha Ayam Patah (ZAP), filem sulung terbitan Uniputra Production, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Walaupun kehadiran Siti hanya satu penampilan khas sebagai penyanyi ghazal, ia pastinya akan menjadi pengubat peminatnya untuk melihat Siti dalam filem.

Pembabitan Siti dalam penggambaran babak penting yang dirakam di lokasi rumah lama seorang penduduk di Kampung Parit Penyengat Laut, Muar, Johor, memberi kelainan kepada filem itu yang diarahkan pengarah muda, Shahrul Azli Mohd Shukor.

Kehadiran Siti pastinya menjadi tarikan utama dalam filem projek UPM yang bermatlamatkan pendidikan dan penyelidikan dengan memaparkan budaya serta tradisi masyarakat melalui keindahan seni tari zapin.

Skrip filem ini yang dihasilkan sendiri Shahrul Azli, memenangi Pertandingan Penulisan Skrip Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)/Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi kategori filem pendek 2002.

Kos pembinaan ZAP adalah daripada sumbangan geran Finas melalui Skim Produksi Filem Pendek (SKPFP) sebanyak RM48,000, manakala Uniputra Production selaku penerbit memperuntukkan sebanyak RM20,000.

Filem itu mengisahkan Zaleha yang dilahirkan tempang tetapi dengan ketabahannya dia berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penari zapin dengan gerak tari yang tetap cantik. Ayam Patah adalah nama satu gerakan dalam tarian zapin.

ZAP yang akan ditayangkan selama 30 minit dalam format 16 milimeter dibintangi Eman Manan, Samat Salleh, Rosnah Johari, Hasnol Rahmat dan bakat baru dari Yayasan Warisan Johor, Siti Norhanizah Hayon sebagai Zaleha.

Majlis pelancaran penggambaran ZAP disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Kampung Parit Penyengat Laut, Muar yang menjadi lokasi utama filem berkenaan, baru-baru ini.

Filem itu yang menggunakan latar zaman tahun 50-an dan 1970-an menjalani penggambaran selama lapan hari di beberapa lokasi di Muar dan berakhir di Pantai Teluk Sisek, Mersing.

Abdul Ghani ketika berucap di majlis itu bangga kerana warisan seni tari Zapin yang sinonim dengan masyarakat Johor dipaparkan dalam filem berkenaan.

“”Kita berbangga kerana filem menunjukkan tarian zapin sebagai satu warisan bangsa khususnya masyarakat Johor yang sudah lama dihayati bukan saja sebagai persembahan tetapi juga satu penghayatan masyarakat yang melambangkan warisan serta identiti bangsa,”” katanya.

Tambah beliau, pemilihan lokasi penggambaran di Johor juga bertepatan dengan jalan cerita dan keunikan tarian Zapin yang sebati dengan masyarakat negeri dan menjadi warisan yang tidak ternilai.

http://www.bharian.com.my/”