Siti Nurhaliza beraya di rumah mertua

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Penyanyi nombor satu negara, Datin Siti Nurhaliza akan menyambut Syawal di rumah mertuanya di Kedah.

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia hari ini, Siti Nurhaliza memberitahu, dia dan suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali dengan Datuk K, akan pulang ke Tikam Batu, Sungai Petani sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

‘‘Ia merupakan kunjungan Siti pertama kali ke rumah keluarga mertua di sana setelah mendirikan rumah tangga,’’ katanya.

Siti Nurhaliza yang baru pulang ke tanah air daripada mengerjakan umrah pada 10 Oktober lalu mengakui beliau teruja untuk menyambut hari lebaran sebagai seorang isteri.

‘‘Tentunya Siti seronok untuk merayakan Syawal dengan orang tersayang. Tentunya suasana sambutan meraikan Syawal kali ini berbeza.

‘‘Sebab Siti bukan lagi merayakan Syawal secara solo, sebaliknya telah berdua,’’ jelasnya yang masih belum menentukan berapa lama beliau akan beraya di kampung suaminya itu.

Sempena sambutan Syawal, Siti Nurhaliza memberitahu, pihak keluarga mertuanya akan mengadakan jamuan Hari Raya.

‘‘Jamuan itu juga untuk meraikan perkahwinan kami,’’ jelas Siti Nurhaliza yang bernikah dengan Datuk K pada 21 Ogos lalu.

Mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis itu memberitahu, beliau hanya menyediakan persiapan secara sederhana.

Malah beliau juga mengakui tidak sempat membuat sendiri biskut raya kegemarannya kerana terpaksa memenuhi banyak undangan.

‘‘Persiapan Hari Raya Siti tidak banyak bezanya seperti sebelum kahwin. Pakaian juga ada beberapa helai daripada koleksi pereka kegemaran Siti yang masih belum dipakai.

‘‘Datuk juga mempunyai koleksinya sendiri dan Siti dan Datuk akan memilih pakaian sedondon untuk digayakan pada pagi Syawal,’’ katanya yang berbulan madu selama seminggu di Honolulu, Hawaii sebelum berlepas ke Mekah untuk mengerjakan umrah.

Penyanyi berusia 28 tahun yang kelihatan berisi sedikit itu tersenyum malu apabila ditanya apakah dia sudah berbadan dua.

Sambil tersenyum manja, kata Siti: ‘‘Belum lagi… masih terlalu awal.’’