Siti Nurhaliza Anak Angkat???

30/05/2006

Edisi Nasional: Dakwaan mengarut

Oleh Ellyna Ali, Zainal Zawawi Mohamed dan Rokaid Chik
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Ketika hubungannya dengan tokoh korporat, Datuk Khalid Mohamad Jiwa masih diperkatakan, penyanyi popular, Siti Nurhaliza tiba-tiba tersentak dengan dakwaan kononnya bapa sebenarnya ialah Ibrahim Deraman, 81, yang kini menetap di Pasir Puteh, Kelantan.

Terkejut dengan perkembangan terbaru itu, Siti yang dihubungi semalam, bukan saja menyifatkan dakwaan warga emas itu sebagai mengarut, malah tidak berasas.

“Apa buktinya dia bapa kandung saya?,” soal Siti yang mengharapkan pihak tertentu jangan menyebarkan cerita seperti itu.

Penyanyi wanita nombor satu itu mengatakan dia mengetahui asal usul keluarga dan sejarah hidupnya iaitu anak kepada pasangan Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail.

“Saya juga tahu macam mana saya dilahirkan dan siapa yang melahirkan saya. Malah, saya juga tahu benar-benar di mana saya dilahirkan.

“Saya harap dengan penjelasan ini, tidak akan ada orang yang sesuka hati mendakwa bahawa saya adalah anak kandung mereka,” tegas Siti.

Menjelaskan kelahirannya, Siti berkata, apa yang diketahuinya, dia bukan dilahirkan di hospital tetapi di rumah iaitu di Berek Polis Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

Ketika itu, katanya, ramai yang datang melihat bagaimana ibu, Siti Salmah, melahirkannya.

“Orang yang datang menyaksikan kelahiran saya juga tidak putus-putus. Sampai ibu sendiri segan melihat kehadiran mereka.

“Namun, itulah kelainan yang dirasai ibu sewaktu melahirkan saya berbanding anaknya yang lain,” kata penyanyi yang sedang popular dengan lagu, Biarlah Rahsia, itu.

Siti bagaimanapun tidak pasti motif di sebalik dakwaan lelaki terbabit.

“Apa yang pasti, memang tidak betul dan saya sendiri baru mendengar perkara itu hari ini.

“Lepas satu-satu. Ada saja perkara yang orang cuba kaitkan pasal saya. Mungkin betul, orang itu ada menyerahkan anak kandungnya kepada orang lain tetapi anak yang didakwanya itu bukanlah saya.

“Saya harap, dia akan dapat selidik dulu sebelum membuat sebarang dakwaan membabitkan diri saya,” katanya yang tidak pasti sama ada hal terbabit mainan pihak tertentu yang cuba memanjang gosip mengenai dirinya sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dia tidak mengenali lelaki itu, justeru, lebih baik apa yang diperkatakan hilang begitu saja.

Sementara itu, Ibrahim mendakwa ‘diburu’ beberapa ahli keluarga Siti untuk menjadi wali penyanyi itu.

“Cuba tanya ayah Siti yang ada sekarang. Hanya dia saja yang tahu,” katanya yang mendakwa penyanyi nombor satu itu anaknya yang diberikan kepada orang lain, 25 tahun lalu.

Dia mendakwa tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan Siti adalah anaknya.

“Hanya Allah menjadi saksi anak yang saya beri nama Za yang sekarang ini penyanyi terkenal adalah anak kandung saya,” kata Ibrahim ketika ditemui di Kampung Padang Siam, Pasir Puteh, petang semalam.

Dakwaan peniaga kecil di Pasar Pasir Puteh itu sudah menjadi buah mulut orang ramai sekitar bandar itu, terutama ketika Siti dikatakan bercinta dengan Khalid atau lebih dikenali dengan Datuk K.

Ibrahim mendakwa anak perempuan yang dinamakan Za itu diserahkan kepada seorang anggota polis dikenali sebagai Din yang ketika itu bertugas di Balai Polis Bukit Yong.

“Saya yakin Siti adalah anak saya dengan isteri ketujuh. Seingat saya isteri saya itu bernama Semah. Kami serahkan Za kepada anggota polis itu ketika dia berusia dalam lingkungan setahun,” katanya.

Dia mendakwa sudah berkahwin dengan 22 wanita tempatan dan Thailand tetapi tiada seorang anak hidup bersamanya kerana diserahkan kepada keluarga lain sebagai anak angkat.

http://www.hmetro.com.my/