Siti, Mawi bakal gegar pentas ABPBH

KUALA LUMPUR: Pemenang enam kali Anugerah Bintang Paling Popular, Datin Seri Siti Nurhaliza dan penyandang anugerah sama untuk 2005 dan 2006, Asmawi Ani (Mawi) bakal menggegarkan pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07).

Kedua-dua penyanyi popular itu antara 17 artis yang diumumkan penyelaras ABPBH07, Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi) untuk menghiburkan peminat di acara berprestij itu yang bakal berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 30 Mac ini.

Menarik apabila di majlis pengumuman pengacara, penyampai trofi dan persembahan artis ABPBH07 diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses di sini, semalam, Datuk Jalaluddin Hassan turut disenaraikan untuk menyanyi.

Turut serta mengadakan persembahan penyanyi utama kumpulan Search, Amy, Anuar Zain, Atilia, Awie, Bob, Dynas, Ella, Fasha Sandha, Fousiah Gous, Hattan, Heliza, Liza Hanim Meet Uncle Hussain dan Ramli Sarip.

Sementara itu 26 artis popular terbabit sebagai penyampai trofi untuk 16 kategori dipertandingkan iaitu AC Mizal, Afdlin Shauki, AG, Anne Ngasri, Awie, Datuk Yusni Hamid, Diana Danielle, Erra Fazira, kumpulan Estranged, Fauziah Latiff dan Hans Isaac.

Turut diumumkan pelakon muda Iqram Dinzly, Isma Halil Hamzah, Leya, Nabil, Ning Baizura, Noorkhiriah, Nora Danish, Noryn Aziz, Nurul, Rashidi Ishak, Rozita Che Wan, Sharifah Shahira, Syamsul Yusof, Zainal Din Zainal dan Zul Zahya.

Seperti tahun lalu, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Raja Azura masih dikekalkan sebagai pengacara majlis.

Di majlis sama Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) Datuk Manja Ismail dan Pengarah Urusan Habib, Datuk Meer Sadik Habib, menyampaikan hadiah kepada pemenang Peraduan Gemilang Bersama Bintang bagi siri satu, dua dan tiga.

Bagi siri satu pemenangnya, Farah Wahida Mohd Zain diikuti tempat kedua, Md Amin Mohamad dan Nora Hamid tempat ketiga. Siri kedua dimenangi Nor Khalilah Mohamad, Ahmad Farid Mustamir Neguib dan Wirna Ilyana Mohd Arshad sementara siri ketiga pemenangnya Nor Razmi Che Hat, Mohd Ferdaus Sari dan Annis Fadzreen Mohd Razzib.

Pememang utama menerima hadiah berupa berjalan di permaidani merah dan menyaksikan ABPBH07 bersama artis popular. Mereka turut menerima barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM5,000 dan pakej percutian ke Bali untuk dua orang.

Pememang tempat kedua menerima hadiah berupa perakam video cakera keras tajaan JVC Sales & Services dan tiket menyaksikan ABPBH07 dan tempat ketiga menerima produk L’Oreal bernilai RM300 dan tiket VIP ke ABPBH07.